GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau berkata, pembubaran Dun Pulau Pinang akan diadakan serentak dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan serentak.
Pendirian kerajaan negeri pimpinan DAP itu tidak sehaluan dengan cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membubarkan Dun Selangor selepas sambutan Cap Goh Mei.
Sambutan Cap Goh Mei diadakan 15 hari selepas perayaan Tahun Baru Cina pada 10 Februari ini.
"Tidak ada bezanya membubarkan Dun selepas Cap Goh Mei atau pada Mac kerana pilihan raya sudah makin hampir... ini adalah saat-saat muktahir (untuk pilihan raya)," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
"Beliau (Abdul Khalid) boleh buat pembubaran Dun tetapi tarikh pilihan raya masih di bawah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jadi pada pandangan saya baik buat serentak," katanya.
Semalam, Abdul Khalid dipetik sebagai berkata cadangan kerajaan pimpinan PKR itu tertakluk kepada perbincangan dengan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang sebelum pihaknya memutuskan perkara berkenaan.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata keputusan Abdul Khalid itu juga bukan keputusan pakatan pembangkang kerana sebelum ini mereka tidak pernah membangkitkan atau membincangkan perkara itu.
"Kalau beliau (Abdul Khalid) mahu syorkan untuk empat negeri di bawah pemerintahan pakatan pembangkang, ia perlu dibincangkan terlebih dahulu. Tetapi kalau beliau nak buat untuk Selangor sahaja itu lain cerita.
"Setakat ini beliau (Abdul Khalid) belum hubungi saya lagi," katanya.
Guan Eng juga berpendapat Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen selepas Persidangan Majlis Raja-Raja berakhir pada 28 Februari ini.
"Saya rasa selepas 28 Februari ini (membubarkan parlimen) kerana masa persidangan itu (Majlis Raja-Raja), beliau (Perdana Menteri) boleh jumpa Yang di-Pertuan Agong untuk meminta perkenan. Jadi kita tunggulah," katanya. - Bernama
Post a Comment