Headlines News :
Home » » 1Malaysia Brothers sedia bantu BN rampas P.Pinang

1Malaysia Brothers sedia bantu BN rampas P.Pinang




GEORGETOWN - Kelab 1Malaysia Brothers (1MB) bersedia untuk menggerakkan jentera pilihan rayanya bagi membantu Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada bila-bila masa, kata penaungnya Datuk Hamzah Zainuddin.
   
Beliau berkata kelab 1Malaysia Brothers yang mengabungkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah menubuhkan jentera pilihan raya secara sukarela bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
   
"Saya melihat ada penyatuan yang erat dalam kalangan anggota NGO ini tanpa mengira kaum dan latar belakang sempena mesyuarat agung pertama hari ini serta terdapat beberapa badan bukan kerajaan lain yang berminat bergabung dan menyokong perjuangan kita," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

   
Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi percaya jentera 1MB berupaya membawa pengaruh besar kepada perubahan landskap politik di negeri ini selepas pilihan raya.
   
"Ini kerana mereka (ahli 1MB) percaya jika BN kekal menerajui negara ini dan mengambil alih Pulau Pinang, banyak agenda pembangunan untuk rakyat akan dibawa masuk ke negeri ini dan kebajikan rakyat akan terjaga," katanya.
   
Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan watikah pelantikan kepada 118 ahli kehormat 1MB yang akan berperanan menjadi 'siren' penggerak kebangkitan rakyat di pusat daerah mengundi masing-masing.
   
Katanya, 1MB yang diasaskan di Pulau Pinang kini sedang dalam proses mengukuhkan pengaruh dengan mengumpul lebih ramai anggota di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Sabah.
   
"Sejak dilancarkan pada 2 September tahun lepas, sebanyak 15,000 borang keahlian telah diedar di Pulau Pinang dan sebanyak 8,000 orang telah berdaftar sebagai ahli dan kita harap lebih ramai lagi rakyat dari negeri lain menyertai kita," katanya. - Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger