Headlines News :
Home » » MCA kecewa kerajaan DAP tak serius masalah keretapi Bukit Bendera

MCA kecewa kerajaan DAP tak serius masalah keretapi Bukit Bendera




PULAU PINANG 20 Nov. - Penang Hill Corporation (PHC) digesa agar lebih serius dan mematuhi jadual penyelengaraan yang ditetapkan bagi memastikan perkhidmatan kereta api Bukit Bendera berada di tahap terbaik.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA negeri, Tang Heap Seng berkata, langkah berkenaan perlu bagi memastikan aktiviti pelancongan di kawasan tersebut tidak terjejas disebabkan perkhidmatan kereta api dan kemudahan yang gagal diselenggara.

"Bukit Bendera merupakan lokasi pelancongan popular. Sehubungan itu, kita tidak mahu perkara-perkara buruk berlaku sehingga memberikan kesan kepada aktiviti pelancongan di kawasan tersebut.


"PHC perlu mengambil tindakan segera dalam memastikan kejadian pelancong terkandas di puncak bukit berkenaan minggu lalu tidak berulang lagi pada masa hadapan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khamis lalu, kira-kira 1,000 pelancong terkandas hampir tiga jam di puncak bukit berkenaan berikutan pintu kereta api Bukit Bendera tidak boleh dibuka.

Malah, perjalanan turun yang biasanya memakan masa hanya lima minit bertukar menjadi setengah jam akibat masalah teknikal itu.

Sementara itu, Penyelaras Pilihan Raya Parlimen Bukit Bendera, H'ng Chee Wey berkata, alasan yang diberikan oleh pihak PHC berhubung kejadian tersebut tidak dapat diterima.

"PHC memberi alasan juruteknik mereka masih baharu dan tidak tahu bagaimana untuk mengatasi masalah berkenaan. Itu bukan alasan. Perkhidmatan kereta api Bukit Bendera bukan baru sebulan beroperasi tetapi sudah setahun.

"Harga tiket perkhidmatan kereta api itu juga sudah dinaikkan tetapi mutu perkhidmatan bagaimana?" soalnya.

Oleh itu, jelas beliau, pihaknya mendesak supaya PHC dan kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil langkah yang lebih drastik dalam memastikan perkara buruk seperti itu tidak berulang kerana boleh memberikan kesan buruk terhadap industri pelancongan negeri.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger