SUNGAI UDANG: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Datuk Mansor Othman sebagai calon bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 akan datang.
Bagaimanapun, Anwar tidak memaklumkan sama ada Mansor akan dicalonkan bagi kerusi ADUN Penanti atau tidak.
Pengumuman Anwar itu sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa Mansor akan digugurkan sebagai timbalan ketua menteri sekiranya Pakatan mempertahankan Pulau Pinang.
Anwar yang berucap dihadapan kira-kira 2,000 hadirin di Sungai Udang malam tadi bagaimanapun memberitahu, bekas pensyarah universiti itu boleh bertanding di dua kerusi mempertahankan DUN Penanti serta untuk merampas kembali Nibong Tebal.
Kerusi itu dimenangi oleh Tan Tee Beng dalam pilihan raya umum 2008 tetapi keluar PKR setahun kemudiannya untuk menjadi wakil rakyat bebas.
Tan, yang merupakan bekas pemimpin Pemuda Gerakan, kemudiannya menyertai parti KITA tetapi dipecat daripada parti awal tahun ini. KITA ditubuhkan oleh bekas pemimpin PKR, Datuk Zaid Ibrahim.
Anwar dalam pada itu turut memohon maaf kerana beliau yang memilih Tan bertanding di situ, sambill menambah, kali ini parti itu memilih seorang yang telah teruji dan berpengalaman.
Mansor mungkin berdepan dengan pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, yang tewas hilang kerusi itu kepada Tan dengan majoriti 3,087 undi pada 2008.
"Oleh kerana kita akan berdepan dengan ketua Umno negeri, maka kita akan hantar ketua PKR negeri, Datuk Mansor, untuk bertanding di sini," kata Anwar disambut tepukan gemuruh hadirin.
"Kita mahu Datuk Mansor membantu kita apabila kita menang Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang."
Mansor baru-baru ini terbabit dalam kontroversi apabila rakaman audio satu mesyuarat tertutup dibocorkan dalam sebuah blog dan kemudiannya disiarkan di TV3.
Audio mesyuarat pada bulan Mac di kalangan beberapa pemimpin PKR tempatan mendedahkan Mansor menggambarkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai sombong, angkuh dan "tokong". - ANTARA POS-
Post a Comment