Headlines News :
Home » » Ahli UMNO perlu keluar zon selesa jika mahu menang PRU 13

Ahli UMNO perlu keluar zon selesa jika mahu menang PRU 13



- Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada seluruh ahli Umno-Barisan Nasional (BN) supaya tidak berada di dalam zon yang terlalu selesa sehingga menyebabkan parti itu berhadapan dengan risiko kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bercakap dalam satu wawancara bersama Sinar Harian, Ahmad Zahid berkata, cabaran sebenar parti pemerintah itu bukannya datang dari luar sebaliknya ia berpunca dari dalam parti sendiri.

"Cabaran kepada BN, bukannya kekuatan parti pembangkang, tetapi fokus kepada masalah dalaman. Ini kerana budaya selesa dalam kalangan ahli parti masih lagi menebal dan tidak dapat diatasi. Seratus peratus masalah dalaman perlu diselesaikan sebelum PRU.

"Walaupun pemimpin Majlis Tertinggi parti turun ke bawah, kajian kami mendapati isu itu menjadi stigma besar kepada jentera parti Umno," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau bagaimanapun yakin parti itu mampu mengubati luka lama sewaktu pilihan raya umum 2008 dengan bermaruah kali ini.

"Bagi saya tidak lebih baik daripada keputusan PRU pada 2004 dan tidak lebih buruk daripada keputusan PRU 2008. BN bukan sahaja perlu bekerja keras, tetapi bekerja dengan penuh bijaksana, dengan mengambil hati khalayak," ujar Ahmad Zahid.

"Realitinya, kami sudah bersedia menghadapi PRU," tambah beliau.

Beliau ditanya berhubung peluang Umno-BN meneruskan tampuk pemerintahan selepas PRU13 ini.

Ahmad Zahid turut mengakui Umno-BN terpaksa bekerja keras terutama sekali di kawasan campuran bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Di sesetengah kawasan, pengundi Cina penentu kemenangan, tetapi di kawasan yang majoritinya Melayu, persaingannya adalah Umno dan Pas dan di kawasan majoritinya Cina, adalah antara DAP dan MCA.

"Manakala di kawasan campuran, pengundi Cina menentukan kerusi Dun atau Parlimen. Kawasan campuran kini, dikenal pasti sekitar 40 peratus, selepas persempadanan semula dilakukan sejak 10 tahun lalu," jelas Ahmad Zahid.

Bagaimanapun ujarnya, sokongan yang diterima kerajaan pada hari ini kian meningkat dari semasa ke semasa meskipun diganggu-gugat dengan pelbagai isu oleh pihak pembangkang.

"Di Bagan Datok umpamanya ada 57 peratus pengundi Melayu, 23 peratus pengundi India dan 20 peratus Cina.

"Dulunya, kawasan campuran ini adalah kawasan paling selamat bagi BN, tetapi tidak lagi dalam keadaan sekarang, kerana pengundi bukan Melayu adalah penentu," katanya lagi yang merupakan Ahli Parlimen di kawasan itu.

Justeru ujarnya, dalam memastikan kemenangan terus berpihak kepada Umno-BN, paling penting adalah memastikan masalah pokok iaitu masalah calon dapat diatasi sebaiknya.

"Mengikut kajian, faktor calon 37 peratus penentu kemenangan atau kekalahan di kawasan Dun dan Parlimen. Oleh itu, masalah dalaman Umno adalah faktor calon dan ini yang ditekankan oleh Datuk Seri Najib.

"Calon bukan sahaja berdasarkan hierarki, tetapi keperluan tempat dan semasa. Meskipun PRU semakin hampir dan isu itu tidak dapat selesaikan 100 peratus, kami berpuas hati jika sebahagian besar dapat diselesaikan," katanya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab memantau dan mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli parti yang mengkhianati atau mensabotaj parti tersebut.

Menurut Najib, penubuhan jawatankuasa itu mengikut Fasal 10 (15) Perlembagaan Umno yang dianggotai oleh ahli Majlis Tertinggi dan beberapa individu yang tiada kepentingan.

“Tujuan ia ditubuhkan bagi memudahkan tindakan segera diambil bagi mana-mana individu terutama ahli parti yang mengkhianati parti dan calon Barisan Nasional (BN)," katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger