PULAU PINANG 14 Okt. - Pakatan pembangkang tidak mampu menjamin keselamatan negara jika mereka mengambil alih pentadbiran kerana masing-masing memperjuangkan ideologi yang berbeza.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perbezaan dasar antara Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semakin jelas ekoran perbezaan pendapat yang sering timbul antara mereka.
"Dasar ketiga-tiga parti itu boleh diibaratkan seperti langit dan bumi yang tidak memungkinkan mereka berjaya mewujudkan keamanan negara jika berkuasa," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkasa negeri kali ke-2 di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Perkasa negeri, Yusof Suhaimi Mohd. Yatim serta kira-kira 250 orang perwakilan.
Menurut Ibrahim, berdasarkan perbezaan itu, adalah jelas pakatan pembangkang bukanlah pilihan terbaik kerana jika berkuasa, mereka hanya akan menghakiskan keamanan yang telah wujud sekian lama.
"Mereka harus ingat keamanan negara adalah perkara asas dalam pentadbiran kerana negara ini mempunyai masyarakat majmuk.
"Selain itu, pakatan pembangkang juga belum didaftarkan sehingga kini. Ini berbeza dengan BN yang sudah berpengalaman dan membuktikan kemampuan mereka menguruskan negara sejak lebih 50 tahun lalu," katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mencabar Pas supaya lebih tegas terhadap DAP yang begitu lantang bersuara dalam gabungan itu.
"Sebelum ini, Karpal Singh dengan nada keras pernah meminta Pas melangkah mayatnya dahulu jika mahu mewujudkan negara Islam.
"Saya ingin tahu, apakah Pas berani membangkitkan perkara sama iaitu DAP harus langkah mayat Pas dahulu jika tetap mahu berjuang dengan dasar Malaysian Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, Perkasa yang mempunyai keahlian hampir 300,000 orang di seluruh negara berikrar akan menyokong calon BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
\d
Post a Comment