Headlines News :
Home » » PENDUDUK BANTAH KONDO KAWASAN BUKIT DILULUSKAN KERAJAAN DAP

PENDUDUK BANTAH KONDO KAWASAN BUKIT DILULUSKAN KERAJAAN DAP



PULAU PINANG 5 Mei - Sebanyak 50 pemilik rumah teres berkembar Casa Permai di Tanjung Bungah di sini menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan status projek pembinaan kondominium mewah yang dicadangkan dibina di kawasan berbukit bersebelahan kediaman mereka.

Menurut penduduk, projek dua blok kondominium mewah membabitkan lebih 250 unit rumah setinggi 33 dan 34 tingkat itu menimbulkan keraguan kerana dibina di kawasan berbukit melebihi 76 meter (250 kaki) dari paras laut.

Keadaan itu, tambah mereka, mengundang pelbagai ancaman keselamatan terhadap penduduk di kawasan sekitar selain risiko kepada pemilik kondominium tersebut kelak.
Wakil penduduk, N. Kanagavalli, 40-an berkata, penduduk di kawasan itu pernah membuat bantahan berhubung projek tersebut kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 2008 dan projek itu tergendala buat seketika.

Walau bagaimanapun, menurutnya, projek yang dibangunkan syarikat pemaju, Nilai Arif Sdn. Bhd. itu berjalan semula sejak beberapa bulan lalu dan penduduk turut mendapati terdapat kerja-kerja pembangunan tanah di tapak projek tersebut.

"Sehubungan itu, kita meminta Kerajaan DAP Pulau Pinang beri penjelasan yang telus mengenai status sebenar projek pembinaan kondominium mewah itu.

"Adakah projek tersebut telah diluluskan dan adakah projek itu mematuhi syarat-syarat pembinaan di kawasan tanah tinggi?" katanya.

Menurut Kanagavalli, sekiranya projek itu diluluskan sekali pun, Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu memastikan pihak pemaju tidak mengabaikan aspek-aspek keselamatan penduduk di kawasan projek tersebut.

Katanya, pihak pemaju perlu memberi jaminan kepada penduduk bahawa aktiviti pembangunan projek itu terutama kerja-kerja meletup batu di kawasan berbukit tidak mengancam keselamatan mereka.

Selain itu, tambahnya, pihak pemaju juga tidak sepatutnya menggunakan jalan di kawasan perumahan penduduk sebagai laluan utama ke tapak projek kondominium tersebut.
Dalam pada itu, Kanagavalli berkata, penduduk di kawasan tersebut akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Desa dan Bandar dan Perumahan Negeri, Jagdeep Singh Deo dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger