Headlines News :
Home » » Tuduhan P.Pinang dianaktirikan Bajet 2013 satu pembohongan

Tuduhan P.Pinang dianaktirikan Bajet 2013 satu pembohongan




GEORGETOWN, 2012 October 11 – Kerajaan pusat tidak pernah menganaktirikan rakyat Pulau Pinang malah banyak pembangunan yang dilaksanakan walaupun pentadbiran kerajaan negeri diambil alih pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum ke-12.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata ini dibuktikan dalam pelan pusingan kedua Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) di mana kerajaan memperuntukkan RM3.3 bilion bagi melaksanakan 197 program dan projek bagi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

 “Tuduhan kerajaan negeri Pulau Pinang bahawa Belanjawan 2013 tidak beri peruntukan yang banyak dan seolah-olah Pulau Pinang dianaktirikan itu memang tidak benar, banyak projek yang sedang dan akan dilaksanakan melalui pelan pusingan kedua RMK-10.

 “Keseluruhannya Belanjawan 2013 adalah Belanjawan yang bagus dan berorientasikan rakyat untuk kesejahteraan rakyat juga, ia juga bagi memastikan generasi akan datang mendapat manfaat yang sama,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pulau Pinang di sini, hari Khamis (11.10.2012).

 Katanya selain itu ada beberapa projek lain dengan kos melebihi RM20 juta yang akan merancakkan lagi pelaksanaan projek-projek RMK-10 negeri Pulau Pinang. Antaranya ialah projek pembinaan Politeknik Balik Pulau melibatkan kos RM105.3 juta, Institut Kemahiran Mara, Seberang Perai Utara (SPU) (RM89 juta) dan pembinaan jejambat menghubungkan Jalan Nangka-Jalan Perda Timur merentasi Jalan Padang Lalang/Jalan Permatang Rawa, Bukit Mertajam melibatkan kos RM184.8 juta.

 Nor Mohamed berkata pelaksanaan projek-projek ini mencerminkan komitmen kerajaan pusat dalam membela nasib rakyat dan membawa kemajuan tanpa mengira sama ada negeri ini ditadbir oleh kerajaan pusat atau tidak.

 Beliau berkata sehingga 30 Sept ini status pelaksanaan keseluruhan projek-projek baru RMK-10 ialah 42 projek di peringkat perancangan, 82 projek di peringkat pelaksanaan, 70 projek telah siap dan tiga projek dibatalkan. – Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger