Headlines News :
Home » , » SPICE : Perjanjian MPPP dengan Eco Meridian didedahkan kepada umum

SPICE : Perjanjian MPPP dengan Eco Meridian didedahkan kepada umum



GEORGETOWN- Tiada sebarang respons daripada orang awam berhubung semakan surat perjanjian projek Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (Spice), bermula 12 September sehingga semalam dari 9 pagi hingga 4 petang di tingkat 16, Bahagian Guaman Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Komtar.

Exco Kerajaan Tempatan Dan Pengurusan Lalu Lintas, Chow Kon Yeow berkata, walaupun tindakan Kerajaan Negeri yang membenarkan orang awam menyemak perjanjian antara MPPP dan Eco Meridian Sdn Bhd (EMSB) untuk mendapatkan pendapat umum dan juga mengelak sebarang spekulasi yang akan ditimbulkan kelak namun ia tidak mendapat sambutan orang awam.

“Berdasarkan amalan Kerajaan Negeri iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Kerajaan Negeri mengambil keputusan itu untuk mengumumkan perjanjian konsesi (BOT) berhubung projek Spice ini kepada umum dan mereka boleh menyemaknya di Bahagian Guaman MPPP di sini (Komtar), selama tempoh dua minggu.

“Kita buat begini untuk elak spekulasi kelak kerana kita sudah dengar banyak perkara tidak betul berhubung projek ini,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, lima perkara dalam perjanjian konsesi berkenaan ialah membina pusat pameran bawah tanah bernilai RM300 juta, taman lapang awam hijau yang baru seluas 7 ekar, menaik taraf Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa) dan Pusat Akuatik serta membina hotel dan parkir kereta baru.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan berkata, perjanjian projek mega itu hanya memberi kelebihan kepada pemaju berbanding rakyat negeri ini.

“Jumlah berkenaan (lebih RM480 juta) dianggar berdasarkan tiga syarat menerusi perjanjian MPPP dengan pemaju yang ditandatangani 19 Ogos lalu.

“Tiga syarat itu adalah kebenaran membina 1,500 unit tambahan rumah, pemberian tanah percuma bagi pembinaan 450 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah serta kebenaran membina sebuah hotel lima bintang di tapak sama dengan nilai rendah berbanding kadar pasaran.

“Bagi syarat pertama iaitu membenarkan pemaju membina 1,500 unit rumah, pemaju bakal menerima keuntungan RM450 juta iaitu jumlah berkenaan dianggarkan berdasarkan harga pasaran semasa rumah teres di bahagian pulau yang dianggarkan bernilai RM1 juta setiap satu pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata, pemaju nikmati penjimatan RM300,000 setiap rumah iaitu kos tanah berikutan mereka tidak perlu membayarnya dan jika didarab dengan 1,500 unit rumah, jumlahnya adalah RM450 juta
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger