Headlines News :
Home » » Guan Eng jangan cuba sembunyi fakta penjualan tanah Taman Manggis

Guan Eng jangan cuba sembunyi fakta penjualan tanah Taman Manggis




GEORGETOWN - Kerajaan Negeri didakwa cuba menyembunyikan dan memutarbelitkan fakta mengenai penjualan tanah Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin kepada sebuah syarikat untuk pembinaan sebuah hospital swasta. Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri, Lim Guan Eng sengaja mereka cerita untuk menyembunyikan fakta dengan mengatakan permohonan lesen untuk pembinaan hospital swasta ditolak Kementerian Kesihatan pada 22 Oktober 2010.

 Chang Yeow berkata, semakan yang dilakukan dengan pusat sehenti (one stop centre) mendapati sebuah syarikat swasta telah mengemukakan pelan perancangan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada 23 Disember, 2011.

 “Tidak masuk akal kalau pemaju masih mahu mengemukakan pelan perancangan jika permohonan lesen mereka ditolak satu tahun lebih awal dari tarikh mereka mengemukakan permohonan merancang. “Apabila isu ini pertama kali dibangkitkan Pemuda BN, mengapa Kerajaan Negeri tidak mendedahkan semua fakta termasuk permohonan lesen dari Kementerian Kesihatan ditolak pada 22 Oktober 2010?

Jika kita tidak mendedahkan perkara ini, masyarakat umum masih lagi berada dalam kegelapan dan tidak tahu cerita sebenarnya,” katanya pada sidang media di pejabat BN di sini semalam. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Setiausaha BN Negeri, Datuk Omar Faudzar. Sebelum ini, Pemuda BN negeri mendedahkan tanah seluas 0.45 hektar yang sepatutnya dibangunkan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) fasa kedua tetapi dijual kepada syarikat swasta untuk pembinaan bangunan setinggi 30 tingkat yang mengandungi 19 tingkat hotel, enam tingkat hospital swasta dan lima tingkat tempat letak kereta.

 Bagaimanapun Guan Eng sebelum ini berkata, tanah itu terpaksa dijual kerana keluasannya tidak mencukupi untuk membangunkan projek perumahan. Chang Yeow berkata, maklumat yang diterima dari pejabat Menteri Kesihatan mengesahkan bahawa lesen untuk pembinaan hospital itu telah diluluskan.

 “Unit Perancang Ekonomi negeri juga sudah dimaklumkan mengenai kelulusan berkenaan pada 5 Jun 2012 iaitu tiga hari sebelum isu ini dibangkitkan oleh Pemuda BN. “Macam mana mereka kata pelan ini sudah ditolak. Kita dapati Kerajaan Negeri memutar belit dan mereka cerita untuk menyembunyikan perkara yang masih tersirat,” katanya. Beliau berkata dakwaan Kerajaan Negeri bahawa Kementerian Kesihatan tidak meluluskan pembinaan mana-mana hospital swasta di Pulau Pinang selepas pakatan pembangkang mengambil alih negeri itu pada 2008 adalah tidak benar.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger