Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan kebajikan rakyat di negeri-negeri dikuasai pembangkang termasuk Pulau Pinang.
Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sepanjang tahun lalu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM64 juta bagi membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini berbanding RM3.9 juta oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.
Menurutnya, ia membuktikan bahawa BN melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas tanpa ada niat lain.
“Kalau saya jahat, lebih baik saya salur duit ini ke negeri-negeri lain seperti Perlis, Terengganu atau Pahang.
“Tetapi kita tidak sampai hati, kasihan kepada orang miskin nanti. Kerajaan BN ada hati budi,” katanya ketika berucap kepada 3,000 peserta program Pemantapan Jentera Pilihan Raya (Jalinan Rakyat) Wanita BN Negeri di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha BN Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya; Pengerusi Wanita BN Pulau Pinang, Datuk Ng Siew Lai dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menambah, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan tersebut kepada semua rakyat tanpa mengambil kira fahaman politik.
“Bila kita bagi, kita tidak periksa sama ada penerima ini orang DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Pas.
“Kita berjuang betul-betul kerana Allah, sebab nak cari barakah,” ujarnya.
Post a Comment