Headlines News :
Home » , , » Tuduhan Guan Eng untuk burukkan Dato Zainal Abidin - Shafie Afdal

Tuduhan Guan Eng untuk burukkan Dato Zainal Abidin - Shafie Afdal




Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya berlaku penyelewengan dalam perlaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di negeri itu.

Beliau berkata skim berkenaan dilaksanakan pada tahun 2009 dan mengikut peraturan serta prosedur sedia ada bagi membantu golongan miskin tegar di negeri Pulau Pinang.

"Saya selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang bertanggungjawab (mengenai skim itu) ingin menyatakan bahawa perkara ini (tuduhan ini) adalah tidak benar. Usaha ini berlangsung sejak tahun 2009 di mana bantuan yang kita berikan kepada masyarakat Pulau Pinang sudahpun diselaraskan sebaik mungkin mengikut peraturan yang ada.

"Tidak ada penyelewengan yang dilakukan. Apa yang dinyatakan pihak-pihak ini (Lim Guan Eng) cuma berunsur politik bertujuan memburukkan pimpinan kita (Datuk Zainal Abidin Osman) selaku Pengerusi Perhubungan Umno negeri Pulau Pinang," katanya.

Shafie berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dalam sebuah akhbar tempatan yang menafikan tuduhan Lim Guan Eng yang mendakwa hanya 22 peserta skim SPKR menerima bantuan RM1.1 juta daripada kementerian.

Dalam penjelasannya pada Sabtu, Zainal Abidin berkata bantuan pada 2009 itu diberikan kepada 990 peserta miskin di seluruh negeri Pulau Pinang dan daripada jumlah berkenaan 22 peserta adalah dari Nibong Tebal.

Menurut Zainal Abidin jumlah RM1.1 juta itu adalah sebahagian daripada bantuan keseluruhan RM22.9 juta yang disalurkan oleh kementerian bagi pelbagai projek SPKR di Pulau Pinang dari 2008 hingga 2012 untuk membantu 3,938 peserta miskin dan miskin tegar di negeri itu.

Mengenai masalah bekalan air kepada masyarakat Orang Asli di Bera, Pahang yang terjejas ekoran isu paip air pecah, Shafie menasihatkan penduduk beberapa kampung terlibat supaya bersabar kerana kementeriannya sudahpun mengambil tindakan menyelesaikan masalah itu.

"Perkara ini telahpun saya maklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah berunding dengan anggota Parlimen kawasan itu serta kontraktor yang berhadapan dengan masalah ini. Saya telah beri tempoh sehingga penghujung bulan ini untuk kita dapat selaraskan projek itu," katanya.

Menurut Shafie isu berkenaan berlaku kerana timbul masalah pembayaran antara kontraktor utama kepada subkontraktor dalam perlaksanaan projek berkenaan. - BERNAMA
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger