Headlines News :
Home » , » Serang dasar kerajaan bantu Melayu, DAP tak layak digelar parti semua kaum

Serang dasar kerajaan bantu Melayu, DAP tak layak digelar parti semua kaum




KUALA LUMPUR 29 Jan. - Perjuangan DAP yang selama ini sering mempersoalkan dasar kerajaan terhadap orang Melayu membuktikan ia tidak layak digelar parti mewakili semua kaum.

Pemerhati politik, Che Hamdan Che Mohd. Razali berkata, selain itu DAP juga masih gagal memahami kedudukan sebenar masyarakat luar bandar yang berada dalam kemiskinan dan kemunduran.

“Adakah dengan hanya beberapa orang Melayu menyertai parti berkenaan dalam tempoh terdekat telah mengubah dasar dan perjuangan DAP sebelum ini?,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Kampus Dungun, Terengganu mengulas ingatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya orang Melayu berwaspada dan tidak mudah terperangkap dengan tipu helah DAP.

Che Hamdan berkata, DAP sebenarnya lebih berminat menarik penyertaan golongan profesional dan bekas-bekas pemimpin parti lain yang dapat memainkan isu-isu semasa dengan lebih berkesan.

“Ini terbukti apabila kita melihat bagaimana golongan profesional muda Cina lebih cenderung kepada DAP,” katanya.

Beliau menambah, golongan Melayu yang menyertai DAP adalah mereka yang mempunyai pemikiran liberal dalam konteks demokrasi pada hari ini.

Katanya, mereka cenderung memperjuangkan kesamarataan dan hak-hak asasi manusia yang tidak selari dengan perjuangan PAS.

“Selain itu, kedudukan Pas yang menyaksikan perselisihan di antara golongan konservatif dan neo-konservatif dalam parti tersebut gagal menarik golongan liberal ini untuk berjuang atas tiket parti tersebut,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Mohd. Roslan Mohd. Saludin percaya tindakan segelintir Melayu menyertai DAP adalah atas faktor kepentingan peribadi, dendam serta kecewa setelah gagal mendapatkan sesuatu daripada parti politik Melayu termasuk Pas.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger