PUTRAJAYA 6 Nov. - Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini amat penting bagi menyiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perhimpunan tersebut merupakan medan penting bagi memastikan UMNO betul-betul bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.
‘‘Saya yakin ucapan dasar Presiden akan berkisar tentang persiapan PRU13, ia pilihan raya yang penting untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus menjadi parti pemerintah.
‘‘UMNO mungkin menerima pukulan yang hebat jika kita tidak bersedia,” katanya kepada pemberita pada majlis ibadah korban sempena Aidiladha peringkat Parlimen Putrajaya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, sehingga kini tidak ada cadangan untuk mengehadkan laporan media pada persidangan tersebut seperti diuar-uarkan sesetengah pihak.
‘‘Selain taklimat Presiden yang selalunya diadakan secara tertutup, bahagian mesyuarat lain tidak akan ditutup untuk liputan media,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2011 akan dimulakan dengan persidangan antarabangsa yang akan membincangkan isu-isu politik dunia.
Post a Comment