PULAU PINANG 9 Sept. – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu tidak layak menjadi pemimpin apabila menidakkan pengorbanan anggota polis yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong sebaliknya mengangkat pengganas komunis pula sebagai hero dalam kejadian itu.
Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Aminah Abdullah berkata, Mohamad atau Mat Sabu jelas tidak tahu sejarah sehingga sanggup mengetepikan sumbangan tokoh-tokoh yang berjuang bermati-matian untuk kemerdekaan negara.
‘‘Tak payahlah nak tunjuk hero kerana sudah menjadi Timbalan Presiden Pas sehingga tergamak mengiktiraf perjuangan komunis sebagai perjuangan yang sah semata-mata untuk mendapatkan sokongan.
‘‘Masyarakat tidak bodoh. Mereka sudah boleh berfikir mana yang salah dan mana yang betul. Sepatutnya dia (Mat Sabu) letak jawatan sahaja kerana semua rakyat mengecam perbuatannya itu. Dia tidak layak menjadi Timbalan Presiden Pas lagi,” kata Aminah ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas itu dalam ceramahnya pada 21 Ogos lalu bahawa pengganas dalam Kompeni Pasukan Keempat Parti Komunis Malaysia (PKM) yang membunuh anggota keselamatan serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.
Post a Comment