Headlines News :
Home » » Ismail Sabri minta syarikat Telco fikir beban ditanggung pengguna

Ismail Sabri minta syarikat Telco fikir beban ditanggung pengguna



PUTRAJAYA 9 Sept. - Syarikat-syarikat telekomunikasi perlu meningkatkan dahulu taraf perkhidmatan mereka sebelum menaikkan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pembelian tambah nilai prabayar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, beliau hairan kerana ketika kerajaan cuba mengurangkan beban rakyat dengan memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia, tiba-tiba muncul pula pengumuman caj 'mengejut' itu yang akan berkuat kuasa 15 September ini.

"Kita kena fikir bebanan yang ditanggung oleh pengguna prabayar ini kerana yang banyak menggunakannya adalah golongan berpendapatan rendah, termasuk budak sekolah.

"Saya harap pihak syarikat telekomunikasi dapat naikkan dahulu taraf perkhidmatan mereka kerana banyak aduan yang kita terima berkaitan talian telefon yang selalu terganggu seperti terputus ketika bercakap.

"Saya sebagai menteri yang menerima aduan daripada pengguna, amat berharap mereka (syarikat telekomunikasi) lebih peka terhadap masalah pengguna," kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, syarikat-syarikat telekomunikasi mengumumkan cukai perkhidmatan enam peratus akan dikenakan ke atas pembelian tambah nilai prabayar, pek atau kad SIM prabayar berkuatkuasa 15 September ini.

Ini bermakna pelanggan yang membeli kad prabayar bernilai RM10 perlu membayar RM10.60.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger