BUKIT MERTAJAM, 11 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan agar mana-mana pihak tidak cuba mengubah fakta sejarah dan mengagung-agungkan pengganas komunis.
Beliau berkata komunis zaman dahulu sememangnya zalim dan mencengkam kehidupan rakyat kerana ideologi mereka tidak memihak kepada rakyat, anti agama dan zalim.
“Sebab itulah kita menentang komunis pada zaman itu kerana mereka bertindak kejam di bumi bertuah ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka 2011 di sini.
Perdana Menteri berkata komunis tidak memberi rakyat Malaysia demokrasi, sebaliknya kerajaan yang memerintah ketika ini menghormati proses demokrasi.
“Sebab itu adakala kita menang dan adakala kita kalah tetapi kita harap menang lebih banyak dari kalah,” katanya.
Najib berkata komunis pada masa dahulu berbeza dengan komunis zaman sekarang kerana komunis zaman dahulu tidak memberi hak kekayaan peribadi kepada rakyat.
“Komunis sekarang lain, komunis dulu lain, dulu mereka ingin kuasai negara dan sebarkan ideologi yang tak beri hak kepada rakyat.
“Kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan sekarang menghormati suara rakyat, mengamalkan kesederhanaan dan tidak ekstrem.
Beliau berkata rakyat negara ini perlu bersyukur kerana telah memilih pemimpin yang begitu kukuh dalam meletakkan dasar negara yang kena pada tempat dan masa.
Katanya dua faktor yang meletakkan kejayaan negara ialah pemimpin terdahulu meletakkan dasar yang berpandangan jauh dan mempunyai wawasan.
“Setiap era kita ada pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan tindakan,” katanya.
Najib berkata sebagai contoh dalam usaha mendapatkan kemerdekaan negara, pemimpin dahulu memilih jalan rundingan kerana mereka mahu penjajah keluar daripada negara ini.
“Kita memilih jalan rundingan dan muafakat untuk memuafakat dan kita tunjukkan kepada British yang kita tidak rela dijajah,” katanya.
+ comments + 1 comments
Kalau Mat Sabu kata 31 Ogos tak perlu cuti...tak perlu ada sambutan, Tunku A Rahman pulak diistiharkan bapa perundingan Baling sj, bukan bapa kemerdekaan..agak2nya lagi la pulak org mengamok. Sebab zainal keling dengan koo kay kim kata british bukan penjajah. Betul la org kata pengampu dan pembodek mampu hidup senang dan mewah biar siapapun yg perintah waima komunis. Walaupun fakta tak tepat, tapi asal bos selesa dengan tipuannya.
Post a Comment