Headlines News :
Home » , , » 12 laporan polis untuk fitnah Guan Eng

12 laporan polis untuk fitnah Guan Eng



BUKIT MERTAJAM 16 Sept. - Sebanyak 12 laporan polis dibuat di sekitar Pulau Pinang hari ini ke atas Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mendakwa UMNO terlibat dalam demonstrasi di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) beberapa hari sebelum perhimpunan haram Bersih, 9 Julai lalu.

Seramai 10 individu yang diketuai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Balik Pulau, Ismail Budin membuat laporan polis di Balai Polis Balik Pulau kira-kira pukul 10 pagi ini.

Sementara itu di Balai Polis Bukit Mertajam, dua lagi laporan polis dibuat oleh ahli pergerakan Pemuda UMNO Permatang Pauh, Mohd. Faizal Abdul Rahim dan Amerudin Abdul Hamid.

Menurut Amerudin, laporan polis itu dibuat untuk meminta pihak polis menyiasat fitnah yang dilemparkan oleh Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP ke atas UMNO dalam kejadian kebakaran ibu pejabat DAP di Jalan Talipon dekat George Town.

"Laporan itu boleh dibaca dalam portal Free Malaysia Today, The Malaysian Insider dan Malaysiakini yang dilihat menghasut orang ramai supaya membenci parti UMNO dan memburukkan pandangan masyarakat terhadap UMNO.

"Selain itu laporan polis ini juga dibuat untuk menyiasat tuduhan Guan Eng yang mengaitkan UMNO terlibat dalam demonstrasi di Komtar serta kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang seperti dilaporkan laman web Keadilandaily," katanya.

Tambahnya lagi, Guan Eng secara terbuka menuduh UMNO terlibat dalam kejadian itu selain turut terlibat menyerang dua wartawan dalam kejadian sama.

Jelasnya, UMNO tidak pernah terlibat untuk membakar pejabat organisasi lain atau menyerang mana-mana individu kerana UMNO sentiasa berjuang mempertahankan keamanan negara.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger