Headlines News :
Home » » Huan Cheng Guan cabar Tsu Koon letak jawatan

Huan Cheng Guan cabar Tsu Koon letak jawatan



BUKIT MERTAJAM 16 Sept. – Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dicabar supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sekiranya ingin menjadi calon pilihan raya di Wilayah Persekutuan atau Johor.

Ini kerana beliau didakwa gagal membawa Parti Gerakan negeri mencari hala tuju yang sepatutnya untuk merampas semula Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang serta gagal menjalankan tugasnya sebagai ‘jeneral’ kepada penyokong parti itu.

Bekas Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mungkin boleh menukar portfolio Tsu Koon sebagai menteri pengiring beliau dan bukannya menteri yang menjaga Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi.

Menurutnya, Tsu Koon yang juga Presiden Gerakan memang sesuai menjadi menteri pengiring Perdana Menteri kerana terlalu kerap mengiringi Najib ke seluruh pelosok negara sehingga lupa kepada tugasnya di Pulau Pinang.

“Jadi portfolio yang dipegang beliau sekarang harus diberikan kepada orang lain yang lebih layak dan boleh buat kerja sebagaimana yang sepatutnya.

“Beliau juga boleh letak jawatan di Pulau Pinang dan pilih negeri lain untuk bertanding dan serahkan jawatan kepada orang lebih muda serta lebih layak,” katanya yang juga Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) negeri.

Beberapa pihak termasuk bekas Naib Pengerusi Pemuda Gerakan, Tan Tee Beng sebelum ini berpendapat bahawa Tsu Koon perlu disingkirkan jika Gerakan serius untuk merampas semula Pulau Pinang daripada pembangkang.

Malah terdapat ura-ura daripada beberapa pihak di Johor yang mempelawa Tsu Koon untuk bertanding di negeri itu selepas beliau gagal mempertahankan kerusi yang ditandinginya di Parlimen Batu Kawan pada pilihan raya umum lalu.

Tambah Cheng Guan, Tsu Koon pernah menuduh ada tangan-tangan ghaib di belakang PCM namun beliau gagal memberikan bukti siapakah pihak itu apabila diminta olehnya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger