Headlines News :
Home » , » ICU Pulau Pinang bantu warga emas dalam Parlimen Lim Guan Eng

ICU Pulau Pinang bantu warga emas dalam Parlimen Lim Guan Eng



BUTTERWORTH 7 Ogos - Selepas hampir 25 tahun mendiami pondok usang tanpa bekalan air dan elektrik yang sempurna di Kampung Sungai Nyiur dekat sini, akhirnya nasib Aishah Saad, 86, bersama anak dan menantunya mendapat pembelaan sewajarnya.

Kisah malang warga emas itu mendapat perhatian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang yang akan menguruskan rumah yang lebih selesa untuk Aishah bersama anaknya, Mat Isa Nanyan, 52, bersama isterinya.

Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu Aishah yang terpaksa menumpang di atas tanah orang lain dan hanya membina pondok dengan bekalan elektrik menggunakan generator serta perigi untuk mandi.

Menurutnya, pihaknya akan memikirkan dua alternatif untuk menempatkan Aishah sekeluarga sama ada memindahkan mereka ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar atau Taman Bagan Jaya dekat sini dengan prosesnya diuruskan ICU Seberang Perai yang akan dibuat dalam masa terdekat.

"Selain itu, kita juga mungkin membina dua buah kabin yang lebih selesa sebagai tempat mereka berteduh sementara bagi menggantikan pondok usang terbabit di atas tanah tersebut.

"Pada masa sama JKM turut meneruskan bantuan sara hidup kepada warga emas ini mengikut kadar yang telah ditetapkan setiap bulan," katanya kepada pemberita selepas melawat Aishah di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong Muhammad Farid Saad dan Pengarah JKM Pulau Pinang, Zulkifli Ismail.

Pada lawatan itu, Nik Ali turut menyampaikan bantuan barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, telur dan kurma kepada Aishah.

Sementara itu, Aishah berkata, dia gembira dengan bantuan yang disampaikan serta janji yang diberi ICU itu kerana dia amat mengharapkan kediaman yang lebih sempurna dan selesa berikutan pondoknya yang dibina menggunakan papan terbuang sering bocor.

Jelasnya, mereka bimbang sekiranya tuan tanah berhasrat mengambil semula tanah tersebut selain diganggu penjenayah.

"Sekarang saya hanya bergantung kepada belas ihsan orang ramai untuk makan selain isteri Mat Isa yang kerja di kedai makan dapat bantu sebab Mat Isa tak mampu bekerja selepas tangannya patah Mac lalu.

"Kalau dapat rumah yang lebih selesa memang saya syukur sangat-sangat sebab tak perlu risau lagi bumbung bocor apabila hujan dan diganggu orang jahat," katanya.
Share this post :

+ comments + 1 comments

Anonymous
August 8, 2011 at 6:28 PM

Mohon lain kali, ambil gambar rumah atau apa saja, tak payah ler duk bergambar sedang menhulur sedekah..

Tak molek untuk Makcik ni.. dipamerkan sedemikian rupa.

Walau apa pun bagi pihak golongan miskin, terima kasih kerana telah membantu kepayahan hidup makcik ini.

Syabas!

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger