BUKIT MERTAJAM 25 Julai — Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang meminta kerajaan negeri pimpinan DAP agar memudahkan prosedur kelulusan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, kerajaan negeri itu sering menimbulkan pelbagai kerenah birokrasi sehingga menyebabkan proses membina rumah berkenaan tergendala.
"Kerajaan negeri tidak seharusnya mengenakan pelbagai syarat serta birokrasi yang menyusahkan kerana ia akan merugikan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjaun mesra BN di Parlimen Bukit Mertajam di Pasar Awam Taman Selamat, di sini, hari ini.
Zainal Abidin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, berkata permohonan membina rumah mampu milik oleh agensi kerajaan pusat perlu dirujuk kepada One Stop Agency (OSA) negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri Lim Guan Eng selain memerlukan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Apa yang pelik ialah bagi projek perumahan mewah yang tidak mampu dimiliki rakyat berpendapatan rendah itu tidak perlu merujuk kepada OSA dan hanya perlu mendapat kelulusan PBT sahaja,” katanya.
Beliau mendakwa sejak lebih tiga tahun pemerintahan pakatan pembangkang itu, kerajaan negeri tidak membina walau seunit rumah kos sederhana dan rendah sebaliknya hanya berceramah isu-isu politik sahaja. - Bernama
Post a Comment