GEORGETOWN: Pemilihan jawatankuasa kariah masjid di negeri ini bagi sesi 2012-2013 yang menggunakan kaedah 'pilihan raya masjid' dijangka bercelaru apabila berlaku kekeliruan berhubung individu yang layak mengundi pada proses dijangka bermula Sabtu ini.
Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan pihaknya tidak menyediakan senarai daftar pemilih untuk proses pengundian dan mereka yang layak mengundi akan ditentukan jawatankuasa kariah masjid sedia ada.
Bagaimanapun, beberapa pengerusi kariah masjid di negeri ini yang dihubungi Berita Harian mendakwa tidak mengetahui mereka perlu menetapkan nama kariah yang layak mengundi pada pemilihan itu seperti diminta kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim, berkata pihaknya tidak menyediakan senarai daftar pemilih seperti dicadangkan pelbagai pihak termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan menyerahkan sepenuhnya kuasa itu kepada jawatankuasa kariah masjid sedia ada.
“Setakat ini belum ada (senarai daftar pemilih) dan sejak 2009 lagi, kami mahu menyediakan senarai berkenaan, tetapi wujud kekangan berikutan ketiadaan kerjasama jawatankuasa kariah masjid sedia ada.
“Selepas pemilihan jawatankuasa kariah kali ini selesai, kami merancang menyediakan senarai daftar pemilih,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.
Mengikut tatacara pemilihan jawatankuasa kariah masjid Pulau Pinang 2012-2013, individu yang layak mengundi adalah mereka yang tinggal di sesebuah kariah untuk tempoh tiga bulan.
Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid At-Taqwa Taman Tun Sardon, Abdul Aziz Mohd Shariff, berkata, pihaknya tidak mendapat arahan dan tidak mengetahui mereka perlu menyediakan daftar pemilih bagi pemilihan jawatankuasa kariah masjid, Sabtu ini.
“Saya dan ahli jawatankuasa masjid lain tidak pernah menerima arahan pihak berkuasa agama negeri yang meminta menyediakan senarai daftar pemilih untuk pemilihan yang akan diadakan.
“Tambahan pula, bagaimana untuk menyediakan daftar pemilih kerana kami sendiri masih keliru dan ragu dengan syarat ditetapkan untuk ahli kariah menjadi pemilih,” katanya.
Sementara itu, Abdul Malik berkata, pihaknya akan tetap menjalankan proses pemilihan jawatankuasa kariah masjid di negeri ini bagi sesi 2012-2013 menggunakan kaedah ‘pilihan raya masjid’ walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak yang bimbang kesan negatif daripadanya serta belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam.
“Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang 2012-2013 adalah mengikut Seksyen 104 (1) (b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (negeri Pulau Pinang).
“Tatacara baru itu memberikan hak kepada anak kariah untuk mencadangkan jawatankuasa masjid masing-masing kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Abdul Malik berkata, selepas tarikh pencalonan ditutup Selasa lalu, 193 daripada 200 masjid sudah menghantar senarai pencalonan masing-masing yang membuktikan majoriti kariah menerima pakai tatacara pemilihan diperkenalkan.
“Malah, ada masjid mengadakan kompromi di kalangan ahli kariah masing-masing untuk mengelak berlakunya pertandingan,” katanya.
Post a Comment