Headlines News :
Home » , » UDA Holdings perlu utamakan syarikat bumiputera - Datuk Musa

UDA Holdings perlu utamakan syarikat bumiputera - Datuk Musa



KUALA LUMPUR 20 Mei - UDA Holdings Bhd. didesak supaya memilih syarikat bumiputera bagi melaksanakan pembangunan semula kawasan Penjara Pudu yang bernilai RM6.7 bilion dan bukannya menganugerahkan projek tersebut kepada syarikat asing dari China.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, selaku syarikat milik kerajaan (GLC) yang ditubuhkan bagi membantu bumiputera, UDA Holdings tidak sepatutnya mengutamakan syarikat asing dalam projek tersebut.

Sambil mempersoal minat yang ditunjukkan UDA Holdings terhadap sebuah syarikat hartanah dari China, beliau berkata, banyak syarikat bumiputera mempunyai kemampuan serta kepakaran untuk membangunkan ikon baru yang bakal dikenali Bukit Bintang City Centre (BBCC) itu.

"Jangan bersikap seperti 'kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan'. UDA Holdings ditubuhkan bagi membantu syarikat bumiputera tetapi kenapa minat itu terarah kepada syarikat dari China. Banyak syarikat bumiputera yang mempunyai kemampuan dan kepakaran.

"Kalau mereka yang berada di UDA Holdings tidak boleh lagi memperjuang dan mempertahankan kepentingan bumiputera, elok mereka berundur. Kedudukan mereka itu atas perjuangan orang Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini bahawa UDA Holdings dijangka memilih syarikat hartanah terkemuka China bagi membangunkan BBCC di kawasan seluas 7.76 hektar, untuk tempoh sehingga tujuh tahun.

Semalam, Pengerusi UDA Holdings, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberi jaminan bahawa projek usaha sama dengan syarikat dari China tersebut jika menjadi kenyataan, tidak akan menjejaskan kepentingan peniaga bumiputera.

Dalam pada itu, Musa mendesak Nur Jazlan mendedahkan secara terperinci 'terma rujukan' dan peratusan perkongsian antara UDA Holdings dengan syarikat China tersebut, kerana rakyat ingin tahu sejauh mana kebenaran kerjasama berkenaan boleh menguntungkan bumiputera.

"Jangan hanya sekadar mendedahkan separuh daripada terma perjanjian sahaja. Kita tidak mahu perjanjian kerjasama ini dibuat demi kepentingan pihak tertentu dan bukannya demi manfaat bumiputera secara keseluruhannya," katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger