Headlines News :
Home » , , » Ismail Sabri bidas Guan Eng tuduh kerajaan takut kepada pembangkang

Ismail Sabri bidas Guan Eng tuduh kerajaan takut kepada pembangkang



KUALA LUMPUR 26 Mei – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana mendakwa pembangkang berjaya menakutkan kerajaan sehingga membatalkan keputusan menaikkan harga minyak semalam.

Tegas beliau, dalam keputusan mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), ia dibuat setelah kerajaan mengambil kira suara di dalam parti Barisan Nasional (BN) dan rakyat tanpa mengambil kira langsung pandangan pembangkang.

Sebaliknya katanya, pembangkang berkelakuan seperti Amerika Syarikat (AS) yang bertindak menyerang Iraq dengan menuduh tanpa sebarang bukti sehingga akhirnya mengakui bahawa mereka tersilap dengan tuduhan itu.

“Kalau setakat suara pembangkang, kita tidak akan ambil peduli kerana kita mempunyai pembangkang yang tidak bertanggungjawab kerana asyik menghentam dan memanipulasi setiap isu yang dilaksanakan kerajaan.

“Saya rasa tindakan kerajaan mengekalkan harga minyak telah menghilangkan resah rakyat dan semuanya berterima kasih tetapi sebaliknya pembangkang tidak akan berterimakasih kepada kita,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang yang disiarkan portal berita propembangkang Malaysiakini selepas menghadiri majlis pembiayaan dan penyerahan kunci 11 unit komersial Plaza Damas di sini.

Ismail Sabri dalam pada itu berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa harga petrol RON95, diesel dan LPG akan naik semalam dan menyifatkan spekulasi itu hanya permainan politik pembangkang.

Ujarnya, beliau hanya memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi setiap enam bulan dan tidak memberi jaminan bahawa harga itu akan naik atau kekal.

“Cuma saya beritahu tidak mungkin harga minyak akan turun dan ia telah dimanipulasikan pembangkang sehingga dijadikan isu pada setiap kempen mereka.

“Kalau kita tak naik pun jadi isu juga. Jadi mana ada usaha kerajaan yang pembangkang kata elok,” tegas beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memberi jaminan bahawa harga minyak akan kekal buat masa sekarang.

“Namun kita akan terlebih dahulu mendengar setiap denyut nadi rakyat sebelum membuat sesuatu keputusan,” tambahnya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger