Headlines News :
Home » » BANTUAN SEMPENA RAMADAN DITERUSKAN - MOHD ZAIDI

BANTUAN SEMPENA RAMADAN DITERUSKAN - MOHD ZAIDI

BUKIT MERTAJAM: UMNO Bahagian Permatang Pauh memperuntukkan RM500,000 untuk menjalankan program bantuan dan kebajikan dengan menyasarkan golongan kurang berkemampuan di kawasan Parlimen itu, sepanjang Ramadan ini.

Ketuanya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berkata walaupun UMNO kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu tahun lalu, namun ia tidak bererti bantuan kepada rakyat turut terhenti.

 Beliau berkata, program bantuan berterusan dilaksanakan pihaknya menyebabkan ada segelintir penyokong tegar parti pembangkang di Parlimen itu, beralih kepada Barisan Nasional (BN).

"Ini satu perkembangan positif bagi UMNO di Permatang Pauh dan kekalahan kita pada PRK lalu banyak memberi pengajaran yang mana kita perlu lebih kuat bekerja serta mengeratkan hubungan dengan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

"Justeru, sempena Ramadan ini, UMNO Permatang Pauh akan terus menganjurkan program bantuan dan kebajikan untuk golongan sasar," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan kepada 300 penduduk kawasan itu di Wisma Transformasi UMNO, di sini, hari ini.

 Mohd Zaidi berkata, peruntukan disalurkan itu bakal memanfaatkan kira-kira 1,300 penerima membabitkan golongan miskin, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal.

 "Selain itu, bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan ini, kita turut menyalurkan bantuan kepada 25 masjid dan 65 surau dalam kawasan ini untuk digunakan bagi berbuka puasa serta moreh.

"Melalui bantuan ini, ia diharap dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan menyambut Ramadan dan Aidilfitri akan datang," katanya.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger