Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu tidak boleh diambil mudah oleh semua ahlinya dan UMNO juga harus berlaku benar serta mengakui bahawa parti terbesar orang Melayu itu ketika ini tidak berada dalam kedudukan sebaiknya.

Menurutnya, UMNO perlu menyelesaikan segala kemelut yang dihadapi dengan kadar segera dan tidak boleh menunggu lama kerana jika dibiarkan semakin membarah dan memberi kesan buruk terhadap parti itu.

"Ini bukan persoalan enteng, ini adalah tentang kelangsungan perjuangan Melayu dan Islam. Maka kerana itu kami menyandarkan harapan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk memainkan peranan penting itu.

"Mengajak kepada kesatuan dan memberikan harapan bahawa ada jalan keluar dari semua isu yang melemaskan itu," katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Sekolah Menengah Sains Sembrong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong merangkap Naib Presiden UMNO dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Md. Jais Sarday yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang.

Sambil menyifatkan Hishammuddin sebagai pemimpin masa depan UMNO, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar yakin Ahli Parlimen Sembrong itu merupakan calon terbaik untuk menerajui kepimpinan tertinggi negara suatu masa nanti.
"Datuk Seri Hishammuddin ialah calon dan susuk yang boleh mengembalikan keyakinan kepada parti dan membawa perubahan dan pada masa sama mampu meneruskan legasi serta asas perjuangan UMNO yang murni dan besar," katanya.

Beliau turut mendoakan supaya Hishammuddin akan terus melakukan perkara yang benar untuk parti, bangsa dan ibu pertiwi bagi mengembalikan hari 'indah' UMNO agar terus semarak dan mekar, sekali gus tersemat dalam jiwa setiap orang bangsa Melayu.

Menurutnya, rakyat dan ahli UMNO amat merindui waktu kegemilangan parti tersebut yang utuh, sentiasa berbakti dan dihormati rakyat.

"Maka, berikanlah kepimpinan di kala bangsa dan negara sangat dahagakan pencerahan. Jika bukan tuan, satria mana lagi yang akan kami harapkan dan bila lagi jika bukan sekarang. Johor sudah lama melahirkan UMNO dan ramai tokoh pendiri bangsa dan kami yakin Johor tidak pernah ketandusan melahirkan pemimpin terbaik bangsa," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memberitahu, UMNO negeri ini akan melancarkan Pelan Masa Depan UMNO dengan menggariskan 11 agenda besar dalam tempoh 10 tahun.

Selain itu, pihaknya turut akan mewujudkan Sekolah Politik dan Kepimpinan UMNO untuk menyediakan pemimpin terbaik bangsa pada masa akan datang demi kelangsungan parti.