Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pandangan rakyat diSabah dan Sarawak harus diambil kira disebabkan mereka merupakan antara penyumbang kepada pembentukan kerajaan sekarang.

“Persoalan untuk menggulingkan kerajaan tidak wujud dan teori (gerakan) ini harus dihentikan ke­rana rancangan ini akan melemahkan BN secara keseluruhannya.

“Saya berpendapat bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak menyokong penuh kepemimpinan Najib dan mereka tidak bercadang menukar Perdana Menteri,” kata­nya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir. Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, trend politik masa kini telah berubah dan parti tidak boleh mengharapkan sokongan dari negeri-negeri di Semenanjung sahaja.

“Sejarah pengundian lepas menunjukkan bahawa sokongan negeri di Malaysia Timur seperti Sabah dan Sarawak mampu menentukan pemimpin negara.

“Mereka (rakyat Sabah dan Sarawak) yakin dengan kepe­mimpinan Najib yang merupakan Perdana Menteri yang banyak membela nasib rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman mengingatkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pulau Pinang agar mempertahankan agensi pemaju hartanah Kerajaan Pusat seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn. Bhd. sekiranya ada kelewatan untuk menyiapkan sesuatu projek perumahan.

“Pemaju hartanah Persekutuan juga mengalami nasib yang sama jika kerajaan negeri melewat-lewatkan kelulusan,” katanya.