Menurut Perdana Menteri, perjuangan beliau adalah untuk rakyat yang mahu melihat negara ini maju dan adil.

Beliau yang juga Presiden UMNO menambah, agenda-agenda perjuangan yang lain termasuk menyediakan rumah mampu milik, meringankan beban ibu bapa dalam menampung keperluan sekolah anak-anak dan membantu individu yang mahu memulakan perniagaan.


“Perjuangan saya adalah untuk graduan yang ingin mendapatkan pekerjaan dan merapatkan jurang pendapatan rakyat terutama di luar bandar.

“Perjuangan saya adalah untuk mereka yang susah kerana kos sara hidup dan untuk membantu semua rakyat yang memerlukan pertolongan daripada kita,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-69 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.


Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin; Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Mohamed Aziz; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Lain-lain ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Najib menjelaskan, semua agenda perjuangan itu merangkumi manifestasi yang mendorong beliau bergiat aktif dalam politik bersama UMNO.

“Inilah yang mendorong saya selama 40 tahun mengabdikan diri dalam politik, berjuang dari bawah sampai ke puncak semata-mata kerana saya ingin berkhidmat untuk rakyat dan negara tercinta,” ujarnya.