Headlines News :
Home » » Najib jawab isu Altantuya, 1MDB, BR1M , rasuah dan 10 perkara lain

Najib jawab isu Altantuya, 1MDB, BR1M , rasuah dan 10 perkara lain




– Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab soalan-soalan yang ditimbulkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selama ini.
Dalam entri terbaru di laman web najibrazak.com hari ini, menyentuh isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Najib berkata kes itu telah selesai dan sengaja dikitar semula oleh pembangkang.
“Dalam perbicaraan panjang (sejak 9 tahun lalu), semua pihak telah disiasat dan memberi keterangan.
“Mengapa perlu mendengar lagi kata-kata orang yang telah didapati bersalah melakukan jenayah?
“Saya telah nyatakan berulang kali bahawa saya tiada kaitan dengan isu ini. Saya juga telah bersumpah dengan Al-Quran di masjid.
“Indidvidu-indidvidu berpengaruh ada banyak sumber maklumat. Bila isu ini berlaku, mereka boleh semak sendiri untuk mengesahkan dakwaan (jika saya terlibat). Jika mereka percaya (saya terlibat), mengapa tidak angkat perkara ini 8 tahun lalu? Mengapa sekarang?” soalnya.
Menjawab isu 1MDB, Najib berkata adalah tidak adil kerajaan dipersalahkan tanpa mendengar terlebih dahulu laporan fakta sebenar yang sepatutnya dikemukakan oleh pihak berautoriti seperti Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Bila isu ini dibangkitkan, saya mahukan penjelasan penuh. Jadi saya arahkan Ketua Audit Negara dan PAC menyiasat 1MDB. Sesiapa yang didapati bersalah akan dibawa ke muka pengadilan.
“Kita semua mahukan jawapan terperinci. Biarkanlah pihak audit menjalankan tugas mereka dan mereka akan beritahu keadaan sebenar.
“Jika kita ikhlas mahukan kebenaran, kita perlu dapatkan maklumat daripada pihak berautoriti, bukannya daripada pihak ketiga seperti portal berita atas talian yang ada agenda tersembunyi,” tulisnya.
Menyentuh soal label ‘negara paling banyak rasuah’ yang diberikan kepada Malaysia, Najib berkata ia adalah hasil kaji selidik yang dibuat berdasarkan persepsi semata-mata.
Berdasarkan kajian oleh pihak yang dipercayai seperti Transparency International Index, Malaysia hari ini di kedudukan ke-50 daripada 175 negara, lebih baik berbanding tahun lepas.
Najib juga mendatangkan beberapa fakta lain daripada Bloomberg dan Bank Dunia yang menafikan label ‘negara paling banyak rasuah’.
Selain itu, Najib juga menyentuh soal 1Malaysia yang dikatakan tiada beza dengan konsep Malaysian Malaysia DAP.
Katanya, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan berpandukan Perlembagaan dan hak bumiputera tetap menjadi keutamaan tanpa mengabaikan hak kaum lain.
Menjawab tuduhan Tun Mahathir yang mengatakan Najib lebih teruk daripada Pak Lah, Najib mendatangkan fakta bahawa dalam PRU13, BN telah memenangi 11 negeri berbanding 9 negeri pada PRU12.
Katanya, UMNO telah memenangi lebih banyak kerusi berbanding pilihan raya sebelumnya.
“Bagi memastikan BN menang sepenuhnya, saya perlukan masa. Insya-Allah kesan Program Transformasi yang berjalan sekarang akan memastika kerajaan yang diterajui BN akan mampu menunaikan janji-janjinya,” katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger