Badan perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang menyokong penuh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia
UMNO Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan sokongan penuh kepada YAB Dato' Sri Mohd Najib adalah bersandarkan prinsip-prinsip yang telah menjadi budaya dan amalan UMNO selama ini. Ahli-ahli UMNO berterusan dilatih dan dididik oleh kepimpinan terdahulu untuk sentiasa menghormati pemimpin dan sebarang perbezaan pandangan dan pendapat terus diraikan dan diselesaikan secara berhemah bersesuaian dengan peraturan dan kehendak parti.
UMNO Pulau Pinang tidak terkecuali dalam berbeza pendapat dan pandangan dengan pucuk pimpinan parti, juga dengan Putrajaya dalam hal-hal mengenai kepentingan rakyat Pulau Pinang. Namun begitu UMNO Pulau Pinang memilih untuk menggunakan semua saluran yang disediakan oleh Parti dan Kerajaan dan meleraikan segala perbezaan pandangan dan permasalahan yang timbul.
Dari pengalaman , UMNO Pulau Pinang berpendirian YAB Dato' Sri Najib Presiden UMNO dan Perdana Menteri adalah sangat terbuka dan sentiasa berlapang dada untuk mendengar keluhan dan perselisihan pendapat serta pandangan yang berbeza dalam mencari penyelesaian terbaik dalam semua permasalahan yang timbul dan bersyukur kebanyakkan permasalahan yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan baik.
UMNO Pulau Pinang amat berpuas hati dengan sikap terbuka yang ditunjukkan oleh YAB Perdana Menteri.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang meminta pihak AG dan PAC menyegerakan siasatan terhadap 1MDB dan sekiranya ada unsur-unsur penyelewengan, pecah amanah dan salah guna kuasa maka pihak Polis dan SPRM hendaklah memulakan siasatan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Pada masa yang sama UMNO Pulau Pinang turut menyatakan rasa hormat yang sangat tinggi kepada bekas Perdana Menteri YABg. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang benyak berjasa dan berbakti kepada kepentingan rakyat dan Negara.
Dengan rasa penuh hormat dan rendah diri kita merayu kepada YABg. Tun Mahathir supaya supaya dapat memberi masa sehingga hasil siasatan terhadap 1MDB selesai.
Justeru itu, UMNO Pulau Pinang ingin sekali lagi menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan YAB Dato' Sri Najib perlu diberi ruang dan masa tanpa gangguan untuk meneruskan perlaksanaan Pelan-pelan Transformasi yang telah dimulakan sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negera. Hanya pihak yang tidak bertanggungjawab akan menafikan kejayaan-kejayaan pelan transformasi yang telah diilhamkan oleh beliau.
Post a Comment