BUTTERWORTH: Peniaga di Pasar Awam Seberang Jaya jelas gembira dengan keprihatinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertanyakan keadaan dan masalah mereka semasa Timbalan Perdana Menteri melakukan tinjauan mesra di pasar itu hari ini.
"Saya sempat meluahkan masalah peniaga di sini seperti masalah tempat sesak serta keadaan bumbung yang sudah lama serta pembaharuan ruang yang selesa diperlukan," kata peniaga kedai makan, Abdul Rahman Amir Hussin.
Peniaga berusia 64 tahun itu berkata dia berasa teruja apabila kedainya dipilih Muhyiddin untuk bersarapan.
"Tidak sangka Timbalan Perdana Menteri akan menjamu selera di sini. Beliau dijamu roti jala, roti canai dan kuih-muih seperti karipap, kuih seri muka dan lompang atas permintaannya," kata pemilik Aabah Kafe yang sudah beroperasi selama 20 tahun itu kepada pemberita.
Post a Comment