– Jentera penerangan UMNO akan dibekalkan dengan maklumat lengkap berkaitan isu nasional seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh sekiranya diadakan nanti.
Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata, selain itu pihaknya juga akan memberi penerangan berkaitan pelbagai isu yang melanda negeri Pulau Pinang serta perancangan yang ingin dijalankan di Parlimen Permatang Pauh sendiri.
Menurutnya, tiada yang mustahil untuk Barisan Nasional (BN) dan UMNO kembali merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh yang sekian lama dikuasai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Tiada yang mustahil untuk UMNO rampas kembali Permatang Pauh daripada legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim malah kita yakin untuk lakukan keajaiban tahun ini.
Itulah sebabnya jentera penerangan berusaha untuk menerangkan semua isu sama ada isu nasional, isu negeri dan juga isu tempatan Permatang Pauh kepada pengundi di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama jentera penerangan UMNO Pulau Pinang di Wisma Transformasi di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Tambah Ahmad, pihaknya akan mengadakan pelbagai program penerangan dengan membawa penceramah tertentu untuk mengadakan siri ceramah di seluruh kawasan itu nanti.
Kehadiran Ahmad ke kawasan tersebut hari ini menjadikan beliau wakil UMNO pusat pertama yang hadir bertemu jentera BN di Permatang Pauh dan selepas ini lebih banyak pemimpin akan hadir untuk bertemu masyarakat.
“Kami akan bekerja keras untuk merampas kembali kerusi Permatang Pauh dan tiada yang mustahil dalam politik kerana BN dan UMNO telah membuktikan sebelum ini dengan memenangi kerusi PRK Teluk Intan, Balingan dan Pengkalan Kubor. Untuk calon, kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada di peringkat pusat atau negeri kerana kita bersedia menyokong sesiapa sahaja yang dicadangkan nanti,” ujarnya.
Post a Comment