SIAPA bakal Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang baharu setelah kontrak penyandangnya, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berakhir 31 Disember lalu.
Difahamkan, jawatan itu kini dipangku Tengku Zaib Raja Ahmad yang juga Ketua Pegawai
Perkhidmatan dan Sokongan sebelum pelantikan rasmi dibuat.
Umum maklum SKMM kebelakangan ini sering menerima kritikan, antara lain kerana gagal dan lewat mengambil tindakan atas isu-isu sensitif terutama melibatkan hasutan kaum dan agama. Juga, gagal mengekang banyak penghinaan terhadap apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Internet.
Terbaharu, penyebaran berita palsu atau sengaja direka semasa banjir melanda Pantai Timur bagi menjatuhkan Kerajaan Pusat dan imej pemimpin negara. Ini sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa mengingatkan SKMM supaya menggerakkan segera siasatan dan mengambil tindakan terhadap penyebar berita palsu terbabit.
Sebelum ini juga pernah ada pihak mencadangkan agar jawatan Pengerusi dan CEO SKMM dipisahkan kerana jarang berlaku CEO turut memegang jawatan Pengerusi, sekali gus menjadi terlalu berkuasa dalam organisasi tersebut.
Sama ada Mohamed Sharil sendiri agak sukar ‘buka mulut’ atau SKMM sendiri menghadapi masalah dalamannya, orang ramai tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku.
Dalam konteks ini, SKMM perlu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap penguatkuasaan mereka.
SKMM mesti menilai semula latihan bagi tenaga kerjanya serta peralatan yang diguna agar penguatkuasaan undang-undang dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Sekiranya penguatkuasaan berada di tahap biasa, SKMM pasti akan dikalahkan oleh pihak-pihak yang melakukan jenayah ini.
SKMM dikatakan tidak menghadapi masalah dari segi kewangan tetapi yang kurangnya adalah tenaga penguat kuasa. Barangkali hanya 20 orang. Jadi, bagaimana nak pantau puluhan ribu orang contohnya yang menjadi penyebar fitnah? Kekuatan ‘cybertrooper’ kurang, macam mana nak ke medan perang.
Dijangkakan kesalahan membabitkan jenayah dalam talian seperti penggunaan bahasa lucah dan ugutan meningkat ketara pada masa akan datang. Ini termasuk kes-kes memperkecilkan atau mempersendakan agama dan budaya orang lain serta sesuka hati membuat saman malu terhadap pihak-pihak yang berkenaan.
SKMM juga perlu tegas dalam menguatkuasakan Akta Perlindungan Peribadi 2010 kerana melibatkan pelbagai maklumat sulit dan peribadi individu seperti nombor telefon, kad kredit dan akaun bank. Andai maklumat ini dicabul atau disalah guna oleh pihak lain, bagaimana SKMM harus membantu pihak-pihak ini supaya mereka berasa teguh?
Apa tindakan SKMM supaya orang ramai yakin terhadap sistem perbankan, sistem kad kredit dan juga sistem penyimpanan rekod masing-masing?
Dikatakan beberapa nama disebut-sebut untuk menggantikan Mohamed Sharil. Antaranya Dr.Mazlan Ismail yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Mazlan berkhidmat dengan Telekom Malaysia (TM) sejak 1983 dengan jawatan terakhir sebagai pengurus besar.
Beliau memiliki ijazah dalam bidang Komunikasi Elektronik daripada Universiti Salford, United Kingdom (UK) dan mempunyai Ijazah Sarjana dalam Operational Telecom daripada Universiti Co- ventry, UK serta Ijazah Kedoktoran Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia atas biasiswa TM.
Difahamkan, kesibukan menangani banjir yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur menyebabkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek belum dapat mengumumkan pengganti Mohamed Sharil. Akibat menyertai operasi banjir juga, Ketua Setiausaha kementerian itu yang baharu dilantik, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad baru masuk ofis semalam.
SKMM perlukan seseorang yang berkredibiliti untuk menangani kes-kes fitnah dan tohmahan di dunia siber. SKMM perlukan seseorang yang boleh berkata kepada Peguam Negara ‘teruskan dakwaan kerana SKMM ada bukti kukuh, masih disimpan kemas data fitnahnya,’.
Post a Comment