KUALA LUMPUR 11 Jan. – Tindakan Pengarah Eksekutif Lawyers of Liberty, Eric Paulsen yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremisme pada setiap hari Jumaat merupakan satu perbuatan provokasi terancang.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, individu yang membuat tuduhan berniat jahat sedemikian sepatutnya dikenakan hukuman tegas dan setimpal.
“Saya sudah hilang sabar dengan provokasi berterusan daripada kelompok tertentu. Saya menyokong tindakan Ketua Polis Negara yang cepat bertindak dan memberikan komitmen untuk menyiasat Eric di bawah Akta Hasutan 1948.
“Dengan tuduhan ini, Eric bukan sahaja mencabar kedudukan Jakim, malah keistimewaan umat Islam sebagai penduduk majoriti di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, Eric memuat naik status melalui akaun Twitter miliknya yang mendakwa Jakim mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat dan mahu kerajaan menanganinya jika serius membanteras perkara tersebut.
Post a Comment