NIBONG TEBAL, 3 Nov – Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berharap agar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berpegang pada janji untuk meluluskan projek perumahan mampu milik yang telah tertangguh sejak 2012.
Jelas Zainal, Guan Eng pada sidang medianya 31 Oktober lalu telah menyatakan persetujuannya untuk meluluskan Pelan Kebenaran Merancang oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd. bagi membina rumah kos rendah dan kos sederhana rendah berjumlah 2,447 unit yang tertangguh kelulusannya.
“Saya berharap persetujuan ini menjadi kenyatan dan bukan hanya satu propaganda politik. Ini kerana kelewatan Kerajaan Negeri memberikan kelulusan permohonan untuk projek-projek tersebut menyebabkan pembeli-pembeli yang sudah mendaftar membeli unit-unit kos rendah dan kos sederhana rendah terus tertunggu tunggu dalam jangkamasa yang lama.
“Bakal-bakal pembeli perumahan kos sederhana dan mampu milik yang ditawarkan pula telah membatalkan hasrat dan beralih kepada pemaju-pemaju swasta oleh kerana ketidaktentuan proses kelulusan oleh kerajaan negeri yang berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Zainal yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang turut melahirkan keyakinan bahawa kemelut ini akan dapat diselesaikan jika Kerajaan Negeri telus, ikhlas dan bersedia untuk memberikan kerjasama dan sokongan kepada agensi-agensi Persekutuan dalam menyediakan perumahan untuk rakyat.
Tambahnya, soal perumahan untuk rakyat tidak seharusnya dijadikan bahan untuk berpolitik yang akan merugikan rakyat Pulau Pinang sendiri.
Dalam kenyataan itu juga, Zainal turut melahirkan harapan agar Guan Eng akan memegang kata-katanya untuk berjumpa beliau sekiranya kemelut ini tidak dapat diselesaikan melalui perjumpaan dengan Jagdeep Singh Deo sebagai Exco Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa Negeri Pulau Pinang.
“Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang menghormati dan tidak pernah menafikan peranan Jagdeep sebagai Exco Perumahan tetapi beliau bukan Pengerusi Jawantankuasa Pembangunan Negeri Pulau Pinang (SPC) yang bertanggungjawab secara langsung untuk menangguh tanpa alasan.
“Saya amat berharap, sekiranya pertemuan ini tidak jumpa jalan penyelesaian maka Guan Eng harus menunaikan janji untuk menyelesaikan perkara ini,” ujarnya.
Beliau turut menerangkan bahawa satu perkara yang harus di fahami oleh Guan Eng adalah berkenaan peranan PERDA dan JKP Sdn Bhd. iaitu untuk mempertingkatkan penglibatan Bumiputera dalam sektor ekonomi dan pemilikan hartanah. MediaUMNO
Post a Comment