Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid mempersoalkan keputusan berkenaan kerana menurutnya Iszuree yang juga Setiausaha Pas negeri hanya membangkitkan isu rakyat dan memperjuangkan prinsip demokrasi tetapi telah ‘dihukum’.

Jahara (BN-Teluk Air Tawar) berkata, tindakan menggantung Ahli Majlis MPPP belum pernah berlaku dalam sejarah negeri ini dan bertentangan dengan slogan pakatan pembangkang yang ko­nonnya memperjuangkan kebebasan dan demokrasi.


“Di sini kita melihat penggantungan Iszuree sebagai satu hukuman dan usaha menutup mulutnya daripada terus membangkitkan masalah rakyat dan isu yang membelenggu mereka di negeri ini,” katanya.


Iszuree yang juga Bendahari Pas negeri bulan lalu digantung daripada tugasnya dan dilarang daripada menyertai mana-mana jawatankuasa kecil MPPP selain peruntukannya juga dibekukan kerana didakwa mengkritik dasar kerajaan DAP Pulau Pinang dalam Muktamar Pas di Johor.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Negeri, Chow Kon Yeow kemudian menjelaskan, keputusan berkenaan diambil kerana Iszuree telah membuat kenyataan tidak benar me­ngenai dasar kerajaan DAP negeri dan beliau tidak menggunakan saluran betul untuk membangkitkan masalah rakyat.

“Iszuree telah membangkitkan perkara tidak benar dalam kongres partinya dan tiada wakil kerajaan negeri yang boleh menjawab ketika itu. Lagipun apa yang dibangkitkan itu tidak benar,” katanya.

Jahara kemudian terus mengasak Kon Yeow dengan mempersoalkan adakah kerajaan DAP Pulau Pinang menggunakan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dalam menangani isu ber­kenaan kerana Iszuree seolah-olah menjadi mangsa.

Kon Yeow kemudian mengesahkan keputusan menggantung Iszuree dibuat selaras dengan prinsip berkenaan.

Sementara itu, wakil tunggal Pas dalam DUN, Datuk Mohd. Salleh Man (Pas-Permatang Pasir) hanya berdiam diri walaupun Iszuree dirujuk sebagai bercakap bohong dalam DUN