PULAU PINANG 10 Nov. - Jumlah stok tanah simpanan milik negeri ini didakwa menurun dengan drastik kepada enam peratus berbanding 18 peratus sebelum DAP memerintah pada 2008.
Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid berkata, perkembangan berkenaan sangat membimbangkan dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng perlu memberikan penjelasan berhubung perkara itu yang membabitkan kepentingan rakyat.
“Masalah kekurangan stok tanah akan membuka ruang untuk kerajaan negeri melakukan tebus guna tanah,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Jahara turut mempersoalkan peningkatan 213 peratus bagi perbelanjaan mengurus untuk 2015 berbanding 2014 selepas Guan Eng membentangkan bajet negeri, Jumaat lalu.
Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan kerana anggaran perbelanjaan Pejabat Ketua Menteri tidak berubah iaitu RM184,980 termasuk bayaran gaji dan upah.
“Difahamkan, ketika ini terdapat kira-kira 60 orang kakitangan di pejabat Ketua Menteri berbanding hanya 15 orang ketika pentadbiran sebelumnya,” katanya.
Post a Comment