Kumpulan berkenaan yang terdiri daripada kira-kira 30 orang terkedu apabila pengawal keselamatan bertindak menutup pintu masuk ke pejabat berkenaan yang terletak di tingkat tiga Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sejurus mereka tiba.

Wakil kumpulan itu, Samuel Walter, 46, berkata, kedatangan mereka bukan bertujuan menimbulkan masalah sebaliknya hanya mahu mengadu nasib selepas diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing Jumaat ini dan ha­nya ditawarkan pampasan seba­nyak RM2,000.

Menurutnya, mereka mahu berjumpa Guan Eng memandangkan kampung itu terletak di dalam Parlimen Bagan iaitu kawasan yang diwakili Ketua Menteri selaku ahli Parlimen.

“Kami menerima notis dari mahkamah yang memaklumkan kediaman akan diroboh pada Jumaat ini kerana tapak rumah kami terletak di atas tanah milik syarikat swasta.

“Kami tidak berpuas hati dengan arahan itu apatah lagi pampasan yang ditawarkan juga sangat rendah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ekoran Guan Eng tidak muncul, kumpulan berkenaan yang majo­ritinya warga emas berdemons­trasi secara aman di hadapan Komtar selama kira- kira 30 minit dan membawa pelbagai sepanduk antaranya bertulis Selamatkan Penduduk Kampung Sungai Nyior dan Wakil Rakyat Bagan Lepas Tangan.

Samuel berkata, pampasan yang ditawarkan tidak setimpal kerana majoriti mereka menetap di situ sejak lebih 50 tahun lalu selain mengeluarkan belanja yang tinggi untuk membina rumah.

“Selama ini pun kami membayar sewa kepada pemilik tanah dan adalah tidak wajar untuk kami diperlakukan sebegini. Jadi, kami menuntut supaya kerajaan negeri membantu,” katanya.

Seorang penduduk terlibat, Lim Keng Choi, 61, berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang menipu mereka kerana ketika berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, antara janji yang ditaburkan adalah untuk membantu rakyat, tetapi kini perkara sebaliknya berlaku.

“Banyak kampung di negeri ini telah dirobohkan untuk projek pembangunan. Saya tidak sangka nasib serupa turut menimpa penduduk di Kampung Sungai Nyior,” katanya.