Headlines News :
Home » » MAIPP PERLU SEGERA BANGUNKAN TANAH WAKAF UNTUK KEGUNAAN UMAT ISLAM

MAIPP PERLU SEGERA BANGUNKAN TANAH WAKAF UNTUK KEGUNAAN UMAT ISLAM




PULAU PINANG 18 Sept. - Masalah orang Melayu di negeri ini yang terpinggir sehingga tidak mampu tinggal dalam kawasan bandar dijangka terus berlarutan sekiranya tanah-tanah wakaf yang terdapat di kawasan sekitar Georgetown tidak dibangunkan.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, selagi tanah-tanah berkenaan tidak dimajukan pihak yang mempunyai kuasa dalam bidang berkenaan, masalah penempatan yang melanda orang Melayu di negeri ini terutama membabitkan kawasan pulau dan dalam bandar akan terus berlaku.

"Pulau Pinang bertuah kerana mempunyai tanah wakaf yang banyak dan bernilai tinggi kerana terletak di kawasan strategik iaitu di tengah bandar raya Georgetown. Antara tanah wakaf yang terkemuka ialah Tanah Wakaf Haji Kassim, Tanah Wakaf Hashim Yahaya dan Tanah Wakaf Kampung Dodol yang keseluruhannya seluas 21 ekar (8.5 hektar).

"Selain itu, terdapat juga Tanah Wakaf Shaik Eusoff seluas 14 ekar (5.6 hektar) dan Tanah Wakaf Wan Chik Ariffin seluas 0.9 ekar (0.4 hektar) tetapi malangnya tidak dioptimumkan kegunaannya yang mana merugikan orang Islam di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan tanah berkenaan iaitu Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dilihat lesu apabila tidak mempedulikan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NG0) termasuk Pemenang yang tampil dengan cadangan supaya tanah-tanah wakaf berkenaan dimajukan.

Katanya, meskipun merupakan agensi yang bertanggungjawab mentadbir hal ehwal agama Islam di negeri ini, namun MAIPP tidak mempunyai kepakaran untuk melaksanakan projek pembangunan berskala besar.

Mohd. Yussof berkata, sebagai contoh, tanah wakaf di Kampung Mekam yang terletak kira-kira empat kilometer (km) dari pusat bandar hanya didiami oleh 100 keluarga Melayu sedangkan jika dirancang dengan teliti boleh menempatkan lebih ramai penduduk.

"Sekiranya pembangunan Kampung Makam dirancang dengan sempurna, berdasarkan perkiraan Pemenang mampu menempatkan kira-kira 10,000 penduduk dan sudah pasti majoriti orang Melayu yang tinggal dalam kawasan bandar akan bertambah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pemenang akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam di negara ini dan mengesyorkan kepada baginda supaya satu agensi khas ditubuhkan untuk memantau pembangunan tanah wakaf secara profesional dan teratur.

Menurutnya, keadaan itu bertujuan menjamin penyatuan bumiputera di negeri ini seterusnya membuka peluang perniagaan dan pekerjaan untuk orang Melayu.
Katanya, perkara berkenaan akan diuruskan segera kerana agensi sedia ada gagal melaksanakan tugas sehingga membawa kerugian kepada orang Melayu dan Islam di negeri ini.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger