Headlines News :
Home » » PENDUDUK PENAGA BANTAH KERAJAAN DAP MAHU NAIK TARIF AIR

PENDUDUK PENAGA BANTAH KERAJAAN DAP MAHU NAIK TARIF AIR




KEPALA BATAS - Cadangan Kerajaan Pulau Pinang untuk menaikkan kadar tarif air di negeri ini terus mendapat bantahan pelbagai pihak apabila sekumpulan penduduk yang menggelarkan diri mereka 'Himpunan Anak-anak Penaga' berkumpul secara aman membantah cadangan itu hari ini.

Wakil kumpulan itu, Mohd Sukor Md Yusof, 42, berkata cadangan menaikkan kadar tarif air itu hanya menambah beban rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

"Selama ini pun, rakyat sudah dibeban dengan caj perkhidmatan air selepas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menaikkan surcaj pemuliharaan air (WCS) sebanyak dua kali iaitu pada 2010 dan 2013.

"Sekarang kadar tarif air pula mahu dinaikkan sebanyak 100 peratus yangdijangka hujung tahun ini, ia sangat membebankan pengguna terutama mereka yang mempunyai keluarga besar," katanya kepada pemberita selepas bantahan aman itu di sini.

Bantahan oleh kira-kira 40 penduduk jati Penaga diadakan di kawasan pekan Penaga di sini dengan sebahagian mereka memegang sepanduk membantah cadangan kenaikan tarif air itu.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri  memberi kebenaran kepada PBAPP untuk menjalankan kajian mengenai kenaikan tarif air sebagai langkah terakhir bagi mengurangkan penggunaan air di Pulau Pinang, yang mencatatkan kadar tertinggi di Malaysia.

Lim yang juga pengerusi PBAPP berkata sekiranya tarif air di negeri ini dinaikkan, kadarnya masih merupakan yang terendah berbanding di negeri lain, iaitu RM0.31 bagi setiap 1,000 liter padu untuk 35,000 liter pertama.

Menurutnya langkah pendidikan dan surcaj penjimatan air yang dikenakan sebagai hukuman ke atas pengguna sebelum ini, gagal membendung sikap pembaziran air di negeri ini.

Mohd Sukor turut mendesak kerajaan negeri supaya menghapuskan surcaj WCS itu kerana ia mengakui bahawa kaedah itu gagal mendidik rakyat berjimat dalam menggunakan air.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mungkir janji apabila cuba menaikkan tarif air kerana menerusi manifesto yang dilancarkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, ia menyatakan tiada kenaikan kadar caj perkhidmatan air di negeri ini. - Bernama
 
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger