PULAU PINANG 24 April - Barisan Nasional (BN) negeri akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan mengenai persediaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.
Bagaimanapun Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata, pihaknya setakat ini belum menerima cadangan daripada mana-mana parti komponen parti itu berhubung calon bagi PRK tersebut.
Secara tradisinya, kerusi Parlimen itu adalah milik MCA dan saya yakin pemimpin MCA negeri ketika ini sedang meneliti calon sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Parlimen Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh selepas terlibat dalam kemalangan di Tapah, Perak pada 16 April lalu.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuaratnya hari ini menetapkan PRK Parlimen tersebut akan diadakan pada 25 Mei ini dengan hari penamaan calon pada 12 Mei.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Karpal memenangi kerusi itu dengan majoriti sebanyak 41,778 undi selepas mendapat 55,839 undi menewaskan calon BN daripada MCA, Teh Beng Yeam (14,061 undi).
Dalam pada itu, Chang Yeow mengakui, PRK Parlimen Bukit Gelugor adalah ujian sangat getir kepada BN khususnya MCA memandangkan sentimen pengundi terhadap parti berkenaan tidak banyak berubah selepas pilihan raya umum lalu.
Namun, katanya, beberapa isu berkait dengan kepincangan pembangkang sama ada di negeri ini atau di peringkat nasional memberi kelebihan kepada BN untuk memastikan saingan sengit kepada DAP dalam pilihan raya kecil berkenaan kelak.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dalam kenyataan di sini hari ini berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti tersebut akan mengadakan mesyuarat mengenai PRK Parlimen Bukit Gelugor berkenaan Isnin ini.
Post a Comment