Headlines News :
Home » » PENYAMPAIAN BR1M 3.0 PARLIMEN BALIK PULAU

PENYAMPAIAN BR1M 3.0 PARLIMEN BALIK PULAU






Majlis Penyampaian BR1M 3.0  2014 peringkat Parlimen Balik Pulau  . Dirasmikan oleh Y.Bhg  Datuk Seri Dr Hilmi Yahya  , Ahli Parlimen Balik Pulau di Dewan Politeknik Balik Pulau .






Kerajaan terus bantu rakyat


KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kerajaan komited untuk meneruskan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai cerminan dan manifestasi kesungguhan kerajaan dalam membantu serta membela rakyat berdasarkan falsafah 'Rakyat Didahulukan'.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jaminan atau janji itu juga akan 'dipegang' selagi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dapat dikekalkan.

Malah beliau memberitahu, kerajaan akan sentiasa 'memerah keringat' dan mencari pelbagai idea serta pendekatan baharu untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara di samping menentukan kesejahteraan rakyat.

"Berbeza dengan pembangkang, mereka melancarkan (demonstrasi) Bersih, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, tetapi sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, kita pilih untuk melaksanakan BR1M, BR1M 2.0 dan kini BR1M 3.0 (BR1M 2014). Jika diizinkan Allah, BR1M 4, BR1M 5 dan BR1M 6 akan bertambah baik.

"Kita dapat melakukan ini kerana kestabilan politik dengan masyarakat hidup aman, damai dan harmoni, negara yang kaya dengan hasil dan kerana kita menguruskan ekonomi dengan dasar-dasar pengukuhan serta pertumbuhan ekonomi yang sihat, walaupun keadaan ekonomi dunia masih tidak menentu," katanya.

Beliau berucap melancarkan BR1M 2014 dan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) Peringkat Nasional di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.
Najib berkata, sehingga kini kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya menentukan ekonomi negara terus kukuh selain memacu pertumbuhan yang lestari dan baik serta menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Jelas beliau, tahun lalu pertumbuhan ekonomi negara mencatat kadar 4.7 peratus dan berdasarkan jangkaan agensi penarafan dan bank pelaburan terkemuka, kadar itu akan meningkat antara lima dan 5.5 peratus, tahun ini.

Pelaburan swasta pula katanya, mencatat RM161.1 bilion selain pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM38.7 bilion iaitu paras tertinggi sepanjang tempoh lima tahun sebelum ini.

"Negara-negara maju seperti di Eropah, ada yang masih dalam kancah kemelut ekonomi yang genting dan serius. Ada yang terpaksa meminta kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) supaya menyuntik dana untuk menyelamatkan ekonomi mereka, tetapi Malaysia sebaliknya," jelas beliau.

Mengenai BR1M 2014, kata Perdana Menteri, kerajaan memperuntukkan RM4.5 bilion untuk memberi manfaat kepada tujuh juta penerima dengan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 merangkumi RM650 (bantuan tunai) dan i-BR1M sebanyak RM50.

Bagi individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM500.

Manakala i-BR1M pula menyediakan nilai perlindungan minimum RM1,000 bagi kematian biasa dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.

Seperkara menarik, hampir 17,000 penerima BR1M sebelum ini secara sukarela memaklumkan kepada kerajaan bahawa mereka tidak lagi memerlukan BR1M kerana telah melepasi julat kriteria pendapatan yang ditetapkan.

Sementara itu, Najib memperbetulkan salah faham pelbagai pihak berhubung pelaksanaan pemberian BR1M seperti terkandung dalam aku janji yang diikrar BN semasa pilihan raya umum lalu.
"Ada salah faham kata manifesto BN nak beri BR1M RM1,200. Kita kata dalam tempoh lima tahun, kita naikkan (jumlah BR1M) berperingkat-peringkat. Tapi, komitmen kita, janji kita, RM1,200 dalam tempoh lima tahun, janji ini janji ditepati. Kita akan melaksanakan janji ini," katanya.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger