Headlines News :
Home » » GLC JANGAN LUPA TANGGUNGJAWAB BANTU ORANG MELAYU - MUSA @dzainalabidin @drnovandri

GLC JANGAN LUPA TANGGUNGJAWAB BANTU ORANG MELAYU - MUSA @dzainalabidin @drnovandri




KUALA LUMPUR 5 Dis. - Wakil Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir meminta pengurusan tertinggi kesemua syarikat milik kerajaan (GLC) tidak melupakan tanggungjawab membantu orang Melayu.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memberitahu, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengerusi GLC sepatutnya sedar mereka mendapat jawatan itu hasil perjuangan orang Melayu melalui UMNO.

"Mereka berada di sana (menduduki jawatan) kerana orang Melayu. Sedarlah sama, tolonglah orang Melayu," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Musa menambah, GLC juga perlu mengutamakan akhbar berbahasa Melayu khususnya Utusan Malaysia dari segi pengiklanan produk atau perkhidmatan mereka kerana akhbar tersebut merupakan suara perjuangan orang Melayu.

Hal sama turut dibangkitkan wakil Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie yang kecewa dengan sikap sebanyak 35 GLC di negara ini yang seolah-olah menganaktirikan Utusan Malaysia berbanding akhbar berbahasa Inggeris dan Cina.

Menurutnya, berdasarkan statistik tahun lalu, GLC membelanjakan sebanyak RM366.5 juta iklan dalam akhbar tempatan tetapi daripada jumlah itu hanya RM13.4 juta diberikan kepada Utusan Malaysia.
"Apakah komitmen ini memadai? Perbelanjaan ini amat kecil iaitu hanya 3.7 peratus tetapi dalam akhbar The Star, GLC membelanjakan RM93 juta atau 25.7 peratus manakala akhbar berbahasa Cina pula dibelanjakan RM74.5 juta.

"Akhbar ini lahir daripada perjuangan orang Melayu dalam menuntut kemerdekaan. Akhbar ini lambang perjuangan orang Melayu dan seharusnya Utusan Malaysia perlu didukung GLC agar terus gagah membawa suara orang Melayu," katanya.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger