Headlines News :
Home » » DUN PULAU PINANG BUANG MASA , ADUN DAP HERET ISU LUAR MASUK DEWAN @dzainalabidin

DUN PULAU PINANG BUANG MASA , ADUN DAP HERET ISU LUAR MASUK DEWAN @dzainalabidin




GEORGETOWN 9 Dis. - Seorang penyokong kerajaan yang berbahas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini dilihat lebih membazir masa apabila memberi tumpuan membincangkan isu-isu tidak berkaitan dengan negeri ini.
R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) menghabiskan masa lebih 30 minit dengan hanya membangkitkan isu berkaitan Perhimpunan Agung Umno dan candi Sungai Batu di Merbok, Kedah.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan, Rayer secara tiba-tiba membangkitkan isu perobohan candi berkenaan dan meminta anggota pembangkang kerajaan negeri dari Barisan Nasional menjelaskan perkara itu.

Bagaimanapun, tindakannya itu dibidas Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang menjelaskan isu perobohan candi itu telah dijelaskan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

"Saya mahu tanya Yang Berhormat, apakah kenyataan rasmi oleh Menteri Besar Kedah mengenai isu ini? Kenapa perlu kaitkan dengan Perhimpunan Agung Umno dan kami di sini, sedangkan tiada seorang pun daripada kami di sini yang berhujah pada perhimpunan itu," katanya.

Mukhriz dalam kenyataan pada Selasa lepas berkata kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mengarahkan syarikat pemaju menghentikan segera pembersihan di tapak candi 11 itu.

"Kerajaan menitikberatkan usaha memelihara semua jenis warisan turun-temurun di negeri ini. Bagi memastikan tapak-tapak warisan di lebih 100 lokasi di Lembah Bujang tidak musnah dimamah zaman akibat pembangunan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersetuju menimbang permohonan kerajaan negeri agar tapak-tapak warisan yang dikenal pasti mempunyai nilai warisan diwartakan," katanya.

Speaker DUN Datuk Law Choo Kiang menegur tindakan Rayer itu dan mahu setiap wakil rakyat membahaskan ucapan Ketua Menteri, Lim Guan Eng semasa membentangkan Bajet Pulau Pinang 2014 pada 29 November lepas.

Pada masa sama, beliau juga meminta wakil rakyat untuk membincangkan isu yang berkaitan dengan Pulau Pinang.

"Perbahasan hendaklah berkaitan dengan ucapan bajet yang dibentangkan ketua menteri dengan panjang lebar. Jangan lagi bangkitkan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan Pulau Pinang," katanya. - BERNAMA

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger