KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April 2015 akan membolehkan banyak barangan dijual pada harga lebih murah sekali gus memberi manfaat kepada rakyat, kata beberapa Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN).
Sambil menafikan dakwaan pembangkang berkaitan GST, Khoo Soo Seang (BN-Tebrau) berkata rakyat dapat menjimatkan empat peratus semasa membeli barangan berbanding cukai 10 peratus yang dikenakan sekarang.
Membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata pembangkang menjadikan GST sebagai modal politik dengan mengeluarkan kenyataan tidak tepat sehingga mengelirukan rakyat seolah-olah ia akan menyebabkan kenaikan harga barangan secara mendadak.
"Jika pembangkang benar-benar prihatin dengan nasib rakyat, mereka perlu mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam pemantauan terhadap peniaga supaya tiada yang mengambil kesempatan dengan pelaksanaan GST," katanya.
Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-Pulai) pula berkata sistem GST lebih adil bagi mendatangkan pendapatan kepada negara kerana buat masa ini, hanya 1.7 peratus daripada 12 juta individu bekerja membayar cukai menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan pembayar cukai.
"Dengan GST, siapa yang berbelanja lebih akan perlu membayar lebih cukai dan jika pendapatan negara meningkat, barulah kerajaan boleh merangka lebih banyak program untuk pembangunan.
"Nisbah hasil cukai negara kita masih rendah iaitu 19.5 peratus berbanding 34 negara maju di mana nisbah terendah ialah 26 peratus," katanya ketika membahas rang undang-undang itu.
Datuk Madius Tangau (BN-Tangau) turut menempelak pembangkang kerana berulang kali mengkritik GST tanpa bukti jelas kerana pelaksanaannya hanya bermula pada tahun depan.
"GST diguna pakai di 160 negara. Laos yang dianggap negara miskin juga ada GST. Kita ini negara maju di Asean. Jadi, kalau mahu beri pandangan atau kritikan, tunggu 2015 baru boleh nampak rakyat terbeban atau tidak," katanya. Persidangan dewan bersambung Khamis. - BERNAMA
Post a Comment