Headlines News :
Home » » UMNO P.PINANG SOKONG PRESIDEN & TIMB PRESIDEN DIKEKALKAN

UMNO P.PINANG SOKONG PRESIDEN & TIMB PRESIDEN DIKEKALKAN




GEORGETOWN - Penyandang jawatan presiden dan timbalan presiden Umno perlu dikekalkan dalam pemilihan kali ini kerana jasa mereka mengukuhkan parti dan meraih kemenangan besar dalam PRU13.   

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya menjadikan Umno sebagai parti yang paling banyak mendapat kerusi dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, Umno mendapat 88 kerusi parlimen berbanding DAP hanya 38, parti kedua yang mendapat kerusi terbesar dalam PRU13.

“Mereka berjaya mengekalkan prestasi terbaik Umno. Pada PRU12, Umno mendapat 79 kerusi parlimen,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan Umno di sini, semalam.

Keputusan itu dicapai sebulat suara dengan semua 13 bahagian menyokongnya. Semua ketua bahagian hadir kecuali Kepala Batas yang diwakili timbalan ketua bahagian, Datuk Hilmi Abdul Rashid.

Sehubungan itu, beliau berharap semua bahagian di seluruh negara memberi sokongan kepada Najib dan Muhyiddin untuk terus memimpin Umno yang semakin mendapat sokongan rakyat jelata.

Ditanya kemungkinan muka baru ditonjolkan dalam pemilihan peringkat bahagian kali ini, Zainal yang juga Ketua Umno Bahagian Nibong Tebal berkata, beberapa ketua bahagian menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan jawatan dan memberi laluan kepada pemimpin baru.

“Yang pasti, Kepala Batas akan mendapat ketua bahagian yang baru kerana penyandang, Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu memberi laluan kepada orang lain.

“Ada lagi bahagian lain tetapi masih tidak boleh diumumkan. Tunggu  sehingga 19 September ini apabila semua calon yang menawarkan diri bertanding peringkat bahagian menyerahkan borang pencalonan masing-masing,” katanya.

Mesyuarat itu juga melantik beberapa muka baru mengisi kekosongan jawatan utama peringkat negeri selepas Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dilantik timbalan pengerusi menggantikan Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Musa kini dilantik sebagai setiausaha perhubungan Umno menggantikan Datuk Azhar Ibrahim, Shahbudin Yahya menjadi ketua penerangan menggantikan Dr Hilmi dan Datuk Roslan Saidin sebagai bendahari menggantikan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.  

Zainal berharap gandingan muka lama dan baru akan memantapkan lagi parti dan menarik kembali sokongan lebih padu orang Melayu kepada Umno yang agak meningkat selepas PRU13.

Sementara itu, pada pemilihan kali ini, Musa dipilih bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) dan menjadi calon tunggal dari Pulau Pinang.

Zainal berkata, langkah itu perlu kerana tiada calon lain dari negeri ini yang menawarkan diri untuk jawatan berkenaan.

“Setakat ini, Musa adalah calon tunggal dari Pulau Pinang untuk kerusi MT. Saya tidak menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi MT manakala timbalan pengerusi, Dr Hilmi juga tidak mahu berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Musa mengambil keputusan berkenaan untuk memastikan Pulau Pinang terus mempunyai wakil setelah Zainal dan Dr Hilmi tidak mahu bertanding kerusi MT.

“Saya serah kepada perwakilan dari seluruh negara bagi menentukan nasib saya dalam pemilihan kali ini,” katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger