Headlines News :
Home » » NAJIB & MUHYIDDIN UMUM PERTAHAN PRESIDEN & TIMB PRESIDEN

NAJIB & MUHYIDDIN UMUM PERTAHAN PRESIDEN & TIMB PRESIDEN



- Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti, Oktober ini.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu dibuat berdasarkan sokongan dan kepercayaan yang disuarakan anggota parti di semua peringkat.

Malah jelasnya, maklum balas yang diterima daripada badan-badan perhubungan UMNO negeri turut menetapkan supaya beliau meneruskan kepimpinan sebagai Presiden parti.
Di samping itu ujarnya, dalam pandangan-pandangan serta suara-suara yang diutarakan menerusi mesyuarat cawangan-cawangan UMNO, sebahagian besar daripada ahli-ahli UMNO mahukan perkara sama.

''Saya amat berterima kasih lagi terharu dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan serta disuarakan oleh ahli-ahli UMNO di semua peringkat.

''Oleh itu, dengan rasa rendah diri, maka saya menerima sokongan tersebut untuk menawarkan diri bertanding mempertahankan jawatan sebagai Presiden parti,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama perasmian Persidangan The Middle Temple 2013, di sini hari ini.

Pendaftaran calon yang bercadang untuk bertanding bagi semua jawatan dalam UMNO termasuk di peringkat bahagian dan ketiga-tiga sayap akan dibuka Sabtu ini.
Najib berkata, pihaknya mengharapkan mandat dan kepercayaan yang diberikan itu akan mampu 'mengalirkan' semangat juang semua ahli parti untuk terus memperkasa serta memantapkan lagi UMNO dan seterusnya memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Ditanya sama ada beliau akan ditentang dalam merebut jawatan Presiden parti, Najib berkata : ''Tunggulah, tak usah cakap soal pencabar, tunggu Sabtu ini, baru kita tahu kedudukannya.''

Berhubung pertandingan yang dijangka berlaku dalam semua jawatan sayap parti termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang mengesahkan bertanding jawatan Naib Presiden parti, beliau memberikan jawapan berikut : ''Tidak tahu lagi, itu masih di peringkat membuat kenyataan, Sabtu ini kita akan tahu, segalanya akan terjawab.''

Kepada soalan berhubung kemungkinan berlaku perubahan dalam kepimpinan UMNO kali ini, ujarnya, beliau sentiasa yakin dengan kesinambungan kepimpinan dan perubahan tetapi apa yang penting adalah kestabilan dalam UMNO.

''Ini membuktikan UMNO merupakan parti yang dinamik, perubahan berlaku dari semasa ke semasa termasuk di peringkat atasan pimpinan parti. Saya jangka pasti ada perubahan dalam pemilihan parti kali ini,'' katanya.

Najib turut ditanya sama ada beliau mempunyai 'pasukan' kegemaran dalam pemilihan kali ini dan ini jawapan beliau : ''Semua adalah team (pasukan) saya. Saya kapten UMNO, semuanya adalah sepasukan.''

Menjawab teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung keadaan tenat UMNO beliau berkata, UMNO akan terus memperkukuh sistem nilai parti dalam memperjuangkan kepentingan parti serta menolak politik wang.


MUHYIDDIN UMUM PERTAHAN TIMBALAN PRESIDEN 

PUTRAJAYA 19 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan parti bulan depan.

Katanya, sejak memegang jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan lepas, beliau telah diberikan amanah besar untuk menguruskan perjalanan parti, pilihan raya kecil dan memantapkan parti khususnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat.

Jelasnya, beliau juga telah berusaha membantu pucuk pimpinan parti untuk mengukuhkan kerajaan dan meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya orang-orang Melayu.
"Jadi, atas dasar itu saya berpendapat saya masih mampu menjalankan tugas dan ingin mengumumkan hasrat mempertahankan jawatan dan menawarkan diri untuk dipilih dalam pemilihan parti akan datang.
"Insya-Allah kalau diberi kepercayaan sekali lagi, saya akan membantu pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan saya nak nyatakan saya memberi sokongan padu kepada beliau sebagai Presiden UMNO.
"Saya sendiri akan menjadi pencadang kepada beliau dalam borang yang akan diserahkan pada 21 September ini," katanya dalam sidang akhbar di kediaman rasminya, di Sri Satria di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee Datuk Seri Syed Ali AlHabshee.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger