Headlines News :
Home » » KHAIRY SAHKAN PERTAHAN JAWATAN KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA

KHAIRY SAHKAN PERTAHAN JAWATAN KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA



REMBAU  -  Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan pucuk pimpinan Umno Oktober depan.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata keputusan itu dibuat setelah beliau memikirkan semasak-masak dan mendapat restu daripada rakan-rakan akar umbi.

"Saya telah fikir panjang soal pemilihan parti ini dan setelah saya berbincang perkara ini dengan rakan-rakan di peringkat akar umbi dan minta pandangan daripada rakan-rakan exco Permuda Umno Malaysia, negeri, ketua pemuda bahagian termasuk juga perwakilan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

"Saya mohon diberikan sepenggal lagi sebab ada banyak perkara masih belum dapat diselesaikan dalam sepenggal sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Kampung Gadong dekat sini.

"(Jawatan) ini memerlukan kesinambungan dan saya sudah meletakkan satu perancangan bermula daripada empat tahun yang lepas supaya Pemuda Umno dan BN menjadi lebih relevan kepada generasi muda dan citarasa mereka.

"Dengan pendekatan dan program yang kita jalankan lebih melambangkan keterbukaan dan membawa semangat kenegaraan yang dibawa oleh Perdana Menteri kita.

"Selepas dilantik menteri...saya merasakan ada lagi banyak kerja yang perlu dibuat, saya melihat dengan lebih jelas lagi cabaran yang dihadapi oleh generasi muda.

"Dan bagaimana kerajaan dan parti yang menguasai kerajaan persekutuan harus menggubal program, dasar dan bertindak supaya lebih relevan dengan kehendak dan juga citarasa orang muda di negara ini," katanya.

Mengenai kemungkinan pertandingan bagi merebut jawatan itu, Khairy berkata beliau mengambil sikap terbuka dan beliau tidak mahu ada usaha-usaha untuk menghalang mereka yang ingin bertanding jawatan itu.

"Kita sebagai pemimpin parti mesti menghayati, mengamalkan dan mesti menjiwai pindaan kepada perlembagaan parti iaitu jawatan ini dibuka untuk dipertandingkan.

"Bagaimanapun, kita buat pengecualian kepada jawatan presiden dan timbalan presiden sebab itu soal kestabilan parti dan perpaduan tetapi (bagi) jawatan lain, kita tidak menghalang sesiapa nak bertanding (lawan)," ujar Khairy. -Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger