BUKIT MERTAJAM 27 April - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail mahu pengundi di kawasan itu memberi peluang kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai cita-citanya menjadi pensyarah di salah sebuah universiti di United Kingdom selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei ini.
Mazlan berkata, cita-cita itu pernah disuarakan penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh itu sekiranya beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU-13 nanti.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan pernah menyuarakan hasrat meninggalkan dunia politik dan kembali mengajar sekiranya pakatan pembangkang gagal menguasai Putrajaya tetapi tidak menyatakan sama ada di universiti dalam atau luar negara.
Sebelum ini, Anwar pernah menjadi pensyarah jemputan di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.
"Jadi untuk merealisasikan cita-citanya (Anwar) maka pengundi-pengundi di Permatang Pauh perlu memilih BN pada pilihan raya kali ini.
"Saya berjanji akan mengetuai kepimpinan bersama tiga calon BN yang lain untuk memberi harapan kepada penduduk Permatang Pauh tanpa mengira parti, bangsa dan agama," katanya dalam ucapan ringkas pada ceramah perdana bekas sahabat-sahabat karib Anwar di Padang Awam Taman Pauh di sini malam tadi.
Ceramah perdana anjuran bersama Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang dan Jalur Tiga (Jati) dihadiri kira-kira 1,000 orang. Tiga penceramah yang hadir ialah Presiden Jati, Datuk Dr. Hasan Ali; Timbalan Presidennya, Datuk Aidit Ghazali; dan Naib Presidennya, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba.
Sementara itu, Mazlan berkata, tindakan Anwar yang tidak turun berkempen dan bertemu dengan pengundi di Parlimen Permatang Pauh dianggap sebagai tidak menghargai jasa dan sokongan pengundi yang telah memilih dan memberi mandat sebagai wakil rakyat kepada beliau.
"Tidak boleh ke dalam tempoh 15 hari berkempen ini beliau beri perhatian kepada pengundi di Permatang Pauh kerana selama lima tahun menjadi wakil rakyat, beliau juga mengabaikan penduduk di sini.
"Saudara saudari tanyalah sendiri kepadanya apakah nilai kami ini terlalu kecil berbanding orang Miri, adakah nilai kami ini terlalu kecil berbanding orang Perak dan Selangor," katanya. - BERNAMA
Post a Comment