- Amalan pemimpin pembangkang melompat kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya demi kelangsungan politik membuktikan mereka tidak serius dalam memperjuangkan nasib rakyat.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, amalan itu bercanggah dengan prinsip Barisan Nasional (BN) yang dari dahulu lagi sentiasa mengutamakan perjuangan membela rakyat, bukannya untuk kepentingan calon itu sendiri.
Sebaik-baiknya setiap calon yang bertanding bagi sesebuah kerusi mereka perlu berjuang untuk rakyat di kawasan yang diamanahkan kepada mereka, bukannya mencari kerusi selamat hanya kerana mahu kekal menjadi pemimpin.
Dalam BN, pemimpin lari ke kawasan selamat kerana inginkan kemenangan tidak berlaku sejak 12 kali pilihan raya umum diadakan di negara ini. Adalah menjadi amalan BN apabila seseorang calon bertanding bagi sesebuah kawasan, mereka adalah orang dari kawasan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Bola Sepak Piala Perdana Menteri 2013 untuk warga industri di Bukit Jelutong di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pemuda BN Selangor, Engku Salleh Engku Jamal dan Ketua Pemuda BN Shah Alam, Azhari Shaari.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor pada pilihan raya akan datang walaupun pada pilihan raya umum lalu beliau bertanding kerusi Parlimen Ipoh Timur, Perak.
Tindakan Kit Siang itu mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak antaranya Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang sebelum ini menyifatkan Penasihat DAP itu sebagai ahli politik touch n go (singgah lalu).
Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika diminta mengulas senarai calon daripada kalangan Pemuda BN yang akan bertanding di Selangor berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN negeri.
Sebagaimana sayap-sayap lain, kami masih menanti nama-nama bakal calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen," ujarnya.
Post a Comment